Mohd Fared menerima zakat perniagaan yang disampaikan Ketua Pegawai Operasi Uda Angsana, Imran Salleh berjumlah RM227,856.38 pada Majlis Hi-Tea bersama Pembayar Zakat Perniagaan di Hotel Paragon, Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sedang menjalankan siasatan terperinci ke atas ahli GISB Holdings (GISBH) yang ditahan setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, ini kerana dikhuatiri mereka masih mengamalkan ajaran Aurad Muhammadiyah yang diharamkan pada 1994.

Langkah itu susulan penemuan beberapa buku baharu dan lama yang berkaitan dengan Aurad Muhammadiyah serta gambar bekas pemimpin kumpulan itu dalam serbuan Ops Global yang dilaksanakan di lima daerah dalam negeri ini, minggu lalu.

Beliau berkata, sekiranya benar penemuan itu mempunyai kaitan dengan Aurad Muhammadiyah, tindakan lanjut di bawah Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2003 (Negeri Johor) akan diambil.

“Kita masih jumpa buku lama dan baharu yang mana kita mencurigai jika buku-buku ini ada berkaitan dengan Aurad Muhammadiyah.

“Setakat ini, belum ada pengkelasannya, tetapi dikhuatiri (ada kaitan). Maka, kajian oleh Bahagian Penyelidikan Jainj perlu dibuat dan sebab itu, tindakan lanjut ke atas mereka akan mengambil sedikit masa, kerana kita perlu jalankan kajian secara menyeluruh.

“Penemuan gambar-gambar yang dilihat seolah-olah seperti memuja atau masih mengagung-agungkan pemimpin lama mereka, itu masih jadi kebimbangan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Hi-Tea bersama Pembayar Zakat Perniagaan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai serbuan, Mohd Fared berkata, lima daerah yang terbabit adalah Johor Bahru, Mersing, Kota Tinggi, Kluang dan Segamat membabitkan pusat-pusat kebajikan serta premis institusi pendidikan kumpulan berkenaan.

“Agensi penguatkuasaan kerajaan pusat dan negeri akan mengambil kira semua ruang untuk membolehkan pemerkasaan undang-undang terhadap mereka untuk diambil tindakan.

“Ini bukan maksud nak melumpuhkan sebuah jemaah Islam, tetapi ingin membetulkan gerak kerja yang tidak selari dengan perundangan dan naluri keibubapaan serta masyarakat,” katanya.

Beliau turut berkata, JAINJ akan sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berhubung isu GISBH supaya gerak kerja dapat diselaraskan termasuk dalam pemutusan fatwa mengenai ajaran kumpulan berkenaan.

“Kita bukan nak menganiaya, tetapi kita benar-benar mahu jaga akidah serta kebajikan khususnya anak-anak dan warga emas atau sesiapa sahaja yang didapati teraniaya.

“Pemantauan semua premis yang dipercayai ada kaitan dengan GISBH akan diteruskan, tetapi premis-premis ini masih hak mereka. Jika perniagaan mereka tidak libatkan kesalahan, kita tidak halang,” katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, Mohd Fared mewakili Mainj menerima keseluruhan RM937,856.30 zakat perniagaan yang dibayar oleh 10 syarikat.

Menurut beliau, tahun ini sehingga Ogos lalu, jumlah kutipan zakat adalah sebanyak lebih RM254.97 juta. .- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here