Mangsa ditemui lemas ketika memancing di bangunan terbiar di Jalan Ismail Sultan, Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam tangki kumbahan ketika memancing ikan bersebelahan bangunan terbiar di Jalan Ismail Sultan di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian yang menimpa mangsa berusia 26 tahun itu.

“Pihak polis kemudian menghubungi pihak bomba untuk menyelamatkan mangsa lemas terbabit.

“Mangsa yang merupakan lelaki warga tempatan itu dilaporkan terjatuh ketika memancing ikan. Kes klasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan II Shaifulizam Mohd berkata, pusat gerakan operasi (PGO) menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.41 pagi.

Susulan itu katanya, seramai 16 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan tiga unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Usaha menyelamatkan mangsa yang terjatuh dalam tangki kumbahan yang tidak digunakan lagi itu dilakukan menggunakan tali yang diikat pada penyelamat yang turun ke lokasi mangsa ditemui.

“Penyelamat berjaya menemui mangsa di dasar tangki yang terjatuh ketinggian 10 meter dan berjaya mengeluarkan mangsa namun pegawai perubatan yang hadir mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia di lokasi,” katanya.

Beliau berkata, operasi kemudian ditamatkan sepenuhnya pada pukul 6.52 pagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast