ARKIB Lebih 10 individu termasuk wanita dan kanak-kanak diperiksa dan dibawa ke IPK Selangor untuk proses dokumentasi dalam satu serbuan di pusat perniagaan yang sebahagian besarnya dimiliki oleh rangkaian GISBH ketika di Bandar Country Homes, Rawang. Foto MOHD ADZLAN, 21 SEPTEMBER 2024.

PUTRAJAYA- Terdapat kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal kendalian Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) menghadapi isu kesihatan mental dipercayai disebabkan trauma.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, ada kanak-kanak tersebut memerlukan sokongan kesihatan mental kerana dipisahkan daripada keluarga dan tidak tahu apa yang sedang terjadi kepada mereka.

“Kita mengenal pasti beberapa isu masalah mental dalam kalangan kanak-kanak yang diselamatkan dan kita akan beri maklumat itu secara terperinci kerana ketika ini masih lagi dalam operasi menyelamatkan kanak-kanak GISBH di seluruh negara.

“Jadi, ini adalah proses yang kita serahkan kepada semua pakar-pakar (psikologi) yang dihantar ke Pulapol (Kuala Lumpur),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Farmasi Sedunia Peringkat Kebangsaan 2024 dan Pelancaran Inisiatif MyMediSAFE di Putrajaya, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan 572 kanak-kanak yang menjadi mangsa GISBH berjaya diselamatkan dan ditempatkan di 11 rumah selamat dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, melalui fasa keempat Ops Global yang dijalankan PDRM, seramai 156 individu terdiri daripada 80 lelaki dan 76 wanita telah ditahan.

Katanya, dianggarkan GISBH mempunyai ahli sekitar 10,000 orang termasuk kanak-kanak di seluruh negara. -MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here