BUTTERWORTH – Seorang pengarah syarikat fabrik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan menyalahgunakan wang milik Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang dituntut menerusi insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 (Penjana) berjumlah RM32,000.
Tertuduh, Koay Chin Eng, 63, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh dengan curangnya menyalahgunakan harta milik Perkeso untuk dirinya iaitu wang berjumlah RM21,500 yang merupakan wang Bantuan PenjanaKerjaya 2.0.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyalahgunakan harta milik Perkeso untuk dirinya membabitkan wang berjumlah RM10,500 yang merupakan wang Bantuan PenjanaKerjaya 3.0.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di Sungai Bakap dalam daerah Seberang Perai Selatan pada 2 September 2021 dan 24 Februari 2022.
Oleh itu dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun dan dengan sebat dan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azura Zulkiflee manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Seri Ramli Yusuff dan Datuk Dzaamoddin Salleh.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.
Selain itu, Zulhazmi turut menetapkan syarat tambahan tertuduh perlu lapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM yang berdekatan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Kes akan disebut semula pada 8 November depan. – MalaysiaGazette