SHAH ALAM – Sebuah kilang pengeluar peti ais dan perkakas dapur di Kampung Baru Subang, Seksyen U6 di sini, terbakar kira-kira 80 peratus musnah, malam ini.
Kebakaran membabitkan bangunan kelas A tiga tingkat berkeluasan kira-kira 2,500 kaki persegi di Jalan Bukit Cherakah.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.36 malam sebelum jentera pertama tiba di lokasi lapan minit kemudian.
“Komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan kilang pengeluaran peti ais dan perkakas dapur dengan anggaran 80 peratus bangunan terbakar.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat setakat ini,” katanya menerusi satu kenyataan, malam ini.

Ashrul juga berkata, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 9.40 malam.
“Kerja-kerja overhaul sedang giat dijalankan bagi memadamkan sisa kebakaran, khususnya di tingkat tiga bangunan berkenaan,” katanya.
Menurut Ashrul, operasi pemadaman itu disertai 18 anggota menggunakan tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan dua lori tangki air.
“Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong menjadi balai utama yang terlibat, dengan bantuan BBP Sungai Buloh dan BBP Shah Alam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















