SEPANG – Kira-kira 200 penyokong mula berkumpul di hadapan bilik kenamaan, Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam ini bagi menanti kepulangan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Majoriti penyokong yang hadir dilihat mengenakan pakaian berwarna hitam, manakala sebahagian lelaki memakai baju Melayu lengkap bersongkok.
Sebahagian mereka turut membawa kain rentang sambil melaungkan kata-kata sokongan seperti ‘Daulat Tuanku’ dan ‘Tangkap pengkhianat’.
Turut hadir ialah putera sulung Tuanku Muhriz, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Datuk Seri Ali Redhauddin.
Penerbangan yang membawa Tuanku Muhriz dijangka tiba di KLIA T1 pada kira-kira jam 9.50 malam ini.
Terdahulu, Pengerusi Sekretariat Taat Setia Sokongan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin berkata, satu himpunan diadakan malam ini bagi menunjukkan sokongan kepada Tuanku Muhriz susulan polemik berhubung kedudukan baginda sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Beliau berkata, himpunan berkenaan dijadualkan bermula jam 8.30 malam di Tingkat 5 KLIA, sempena keberangkatan pulang Tuanku Muhriz.
Polemik mengenai kedudukan Tuanku Muhriz semakin memuncak selepas barisan Exco kerajaan negeri semalam menyatakan proklamasi penurunan takhta baginda adalah sah dan mengiktiraf Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu.
Menurut kenyataan barisan Exco, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, pada Isnin lalu.
Bagaimanapun, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) sebelum ini menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, dengan menyatakan tiada proses sah yang menyebabkan baginda terhenti daripada memegang jawatan berkenaan. – MalaysiaGazette
















