Pengarah Strategi Keadilan Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa meneruskan perlindungan subsidi bil elektrik selepas 31 Disember 2026 sekiranya rakyat masih berdepan tekanan kos sara hidup.

Pengarah Strategi Keadilan Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri berkata, tempoh perlindungan sehingga akhir tahun ini tidak seharusnya menjadi titik penamat, sebaliknya perlu disemak semula berdasarkan keadaan ekonomi dan kemampuan sebenar isi rumah.

Menurutnya, jika beban kos sara hidup masih dirasai rakyat, kerajaan wajar mempertimbangkan supaya mekanisme perlindungan berkenaan diteruskan, dan diperluaskan mengikut keperluan.

“Tanggal 31 Disember bukan noktah. Selagi rakyat masih berdepan tekanan kos sara hidup, ikhtiar melindungi mereka perlu terus dinilai sehingga ekonomi rakyat benar-benar selesa,” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Terdahulu, kerajaan memperluaskan perlindungan bil elektrik kepada pengguna domestik dengan penggunaan sehingga 800 kilowatt jam (kWj) sebulan, berbanding had 600 kWj sebelum ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penambahbaikan subsidi itu berkuat kuasa bagi penggunaan elektrik mulai September hingga 31 Disember 2026.

Yahya juga berkata, keputusan kerajaan memperluaskan perlindungan subsidi bil elektrik kepada pengguna domestik sehingga 800 kWj sebulan bagi penggunaan mulai September hingga 31 Disember 2026 merupakan langkah yang wajar dihargai.

Katanya, perlindungan itu amat penting ketika cuaca panas dan keadaan jerebu menyebabkan penggunaan elektrik isi rumah berpotensi meningkat, terutama melalui penggunaan penghawa dingin, kipas dan peralatan elektrik lain.

“Dalam keadaan kos sara hidup masih menjadi perhatian keluarga, sebarang langkah yang dapat mengurangkan tekanan kewangan rakyat sememangnya wajar dihargai,” katanya.

“Bagaimanapun tarikh tamat subsidi tidak sepatutnya menjadi penentu tunggal kepada dasar perlindungan pengguna,” katanya.

Sebaliknya, kata Yahya, kerajaan perlu melihat keadaan ekonomi semasa, kos sara hidup dan kemampuan isi rumah sebelum membuat keputusan mengenai tempoh perlindungan seterusnya.

“Jika tekanan kos sara hidup masih dirasai, maka mekanisme perlindungan ini wajar dipertimbangkan untuk diteruskan, disesuaikan atau diperluaskan mengikut keadaan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Suruhanjaya Tenaga serta Tenaga Nasional Berhad (TNB) atas tindakan memperluaskan perlindungan kepada pengguna domestik.

“Kerajaan perlu mencari keseimbangan antara perlindungan kepada rakyat dengan kemampanan kewangan negara, keterjaminan bekalan tenaga dan kesihatan kewangan sektor elektrik,” katanya.

Menurut Yahya lagi, bantuan yang diberikan juga perlu dinilai berdasarkan keberkesanannya dalam mengurangkan beban sebenar yang ditanggung isi rumah.

“Bantuan yang baik bukan sekadar diumumkan. Bantuan yang baik ialah bantuan yang sampai kepada rakyat, mengurangkan beban mereka dan diteruskan selagi ia benar-benar diperlukan,” katanya.

Selain itu, katanya, matlamat akhir bukan sekadar memastikan rakyat mampu membayar bil elektrik, tetapi memberi ruang kepada mereka menjalani kehidupan dengan lebih stabil dan bermaruah.

“Kita mahu rakyat bukan sekadar mampu membayar bil, tetapi mampu menjalani kehidupan dengan lebih tenang, selesa dan bermaruah,” katanya.

Beliau turut menyeru kerajaan supaya terus memantau tekanan kos sara hidup dan mengambil tindakan sewajarnya selepas tempoh perlindungan semasa berakhir.

“Teruskan ikhtiar. Teruskan mendengar suara rakyat. Teruskan melindungi mereka yang memerlukan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here