Pengarah Strategi Keadilan Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri

KUALA LUMPUR – Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu dilihat sebagai wa’ad nasional atau janji kepada seluruh rakyat Malaysia, bukan sekadar isu tuntutan Sabah dan Sarawak.

Pengarah Strategi Keadilan Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri berkata, MA63 merupakan satu janji dan amanah nasional amat penting dalam memastikan asas pembentukan Malaysia terus dihormati.

“MA63 bukan sekadar dokumen sejarah yang kita kenang setiap 16 September. Ia adalah antara asas kepada pembentukan Malaysia dan menjadi sebahagian daripada amanah yang perlu terus dihormati oleh generasi hari ini.

“Kita tidak boleh membina Malaysia yang kuat dengan melupakan janji membentuk Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan sempena Hari Malaysia 2026, hari ini.

Yahya berkata, pelaksanaan MA63 juga tidak wajar dilihat menerusi kerangka ‘pusat melawan negeri’ atau seolah-olah Sabah dan Sarawak menuntut hak daripada Semenanjung.

Sebaliknya, kata beliau, isu berkenaan perlu ditangani sebagai usaha memperkukuh Persekutuan melalui rundingan, persefahaman dan penyelesaian secara konstruktif.

“Apa yang menjadi hak perlu dihormati, apa yang menjadi tanggungjawab perlu dilaksanakan dan apa yang masih belum selesai perlu dirunding serta diselesaikan dengan semangat kebersamaan,” katanya.

Beliau turut menyambut baik pendekatan kerajaan yang mengutamakan rundingan dan persefahaman dalam memastikan pelaksanaan MA63 terus bergerak ke hadapan.

Menurutnya, perkara paling penting ialah memastikan pelaksanaan tersebut akhirnya memberi kesan nyata kepada rakyat, termasuk dalam aspek peluang pekerjaan, pendidikan, infrastruktur, kesihatan, kemudahan asas dan kualiti hidup.

“Sabah dan Sarawak yang lebih maju bermakna Malaysia yang lebih kuat,” katanya.

Dalam pada itu, Yahya berkata, konsep wa’ad nasional tersebut jauh lebih besar daripada kepentingan politik kepartian kerana ia menyentuh persoalan mengenai bentuk Malaysia yang mahu diwariskan kepada generasi akan datang.

“Apakah Malaysia yang mahu kita wariskan kepada generasi akan datang?

“Malaysia yang hanya bersatu pada nama atau Malaysia yang benar-benar menghormati kesepakatan, berkongsi kemakmuran dan memastikan tiada wilayah serta tiada rakyat yang tertinggal?” katanya.

Katanya lagi, keberanian untuk menunaikan amanah yang telah dipersetujui merupakan asas penting bagi memastikan kesepakatan pembentukan Malaysia terus dihormati.

“MA63 adalah wa’ad. Malaysia adalah amanah. Keadilan adalah prinsip. Dan masa depan Malaysia adalah tanggungjawab kita bersama.

“MA63 adalah wa’ad yang menyatukan kita. Menunaikannya bererti memperkukuh Malaysia untuk generasi akan datang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here