Bangunan Wisma Putra, Kementerian Luar Negeri di Putrajaya.

KUALA LUMPUR –  Kerajaan Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara rejim Zionis di Lubnan baru-baru ini, mengakibatkan lebih 500 kematian dan mencederakan lebih 1,600 orang selain ribuan mangsa lagi kehilangan tempat tinggal.

Kementerian Luar Negeri (KLN) berkata, serangan itu merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.

“Tindakan keganasan ini tidak seharusnya disokong oleh masyarakat antarabangsa kerana ia melanggar integriti wilayah dan kedaulatan Lubnan.

“Operasi ketenteraan Israel bukan sahaja akan meningkatkan lagi ketegangan di Lubnan dan serantau, tetapi juga menimbulkan risiko besar kepada negara jiran dan serta masyarakat antarabangsa.

“Tindakan rejim Zionis memperluaskan operasi ketenteraannya ke Lubnan dan pada masa yang sama meneruskan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, di hadapan mata masyarakat antarabangsa, sama sekali tidak dapat diterima.

“Pengabaian secara terang-terangan terhadap nyawa manusia dan norma antarabangsa ini tidak boleh diterima dan tindakan tegas perlu diambil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) diseru mengambil tindakan segera dan tegas dalam menghentikan serangan kejam yang berlaku di Palestin dan Lubnan bagi melindungi orang awam.

“Pada masa sama, masyarakat antarabangsa perlu bertindak secara bersama dengan segera dan Malaysia menggesa UNSC melaksanakan tanggungjawab berlandaskan piagamnya bagi menamatkan kitaran keganasan ini.

“Pendekatan diplomatik dan komitmen terhadap dialog adalah penting dalam memastikan keamanan yang berkekalan di rantau ini, memandangkan keadaan kini semakin meruncing,”jelasnya.

Dalam pada itu, KLN juga menggesa semua rakyat Malaysia di Lubnan supaya membuat persiapan segera untuk meninggalkan negara berkenaan secara sukarela.

“Warganegara Malaysia diminta menangguhkan semua perjalanan ke Lubnan sehingga keadaan di Lubnan kembali stabil. Sekiranya mana-mana rakyat Malaysia memerlukan bantuan konsular, Kedutaan Malaysia di Beirut.

“Boleh menghubungi di talian +961 7677 2527, +961 7138 0063 atau di alamat Lot 170, Saad Zaghloul Street, Downtown, Beirut, Republik Lubnan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here