Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang bersama pemenang Petandingan National Science Challenge 2024 di Universiti Putra Malaysia, 25 September 2024

KUALA LUMPUR – Usaha menyemai minat dan peningkatan bakat dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) perlu dilaksanakan secara selari dengan pemerkasaan kualiti pendidikan di Malaysia.

Justeru, Falsafah Pendidikan Kebangsaan perlu dijadikan rujukan pembentukan kerangka ekosistem pendidikan Malaysia yang terkini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berpendapat, pengukuhan pembelajaran formal di sekolah melalui aktiviti pembelajaran tidak formal seperti pertandingan National Science Challenge (NSC) dilihat sebagai salah satu kaedah utama yang dapat membantu pelajar meminati subjek STEM.

“Penubuhan Jawatankuasa Pemandu Bakat STI Negara yang dianggotai oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), perlu dilihat sebagai sebuah platform untuk mengorak strategi pendidikan dan bakat yang menyeluruh mengambil kira keperluan pelajar daripada peringkat awal sehingga ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Peringkat Akhir National Science Challenge (NSC) 2024 anjuran Akademi Sains Malaysia (ASM).

Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh; Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Ts Dr Aminuddin Hassim; Presiden ASM, Academician Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen FASc; Setiausaha Agung ASM, Profesor Dr Norsaadah Abd Rahman FASc; Pengerusi Jawatankuasa Pemandu NSC 202;  Profesor Ir Dr Aduwati Sali dan Ketua Pegawai Eksekutif ASM, Puan Hazami Habib.

NSC adalah sebuah pertandingan yang memberi peluang kepada pelajar untuk meningkatkan pengetahuan saintifik dengan kandungan dan aktiviti menarik.

Program itu turut mengasah kemahiran komunikasi, semangat kerja berpasukan dan membina pemikiran kritis.

Pertandingan yang terbuka kepada pelajar tingkatan 1 hingga empat sekolah menengah awam, swasta dan antarabangsa di seluruh negara ini telah dianjurkan sejak 1999 oleh ASM.

NSC 2024 secara keseluruhannya berjaya mengumpulkan 9,689 pasukan membabitkan 29,067 pelajar seluruh negara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang bersama para peserta Petandingan National Science Challenge 2024 di Universiti Putra Malaysia, 25 September 2024

Lima pasukan yang bertanding di Peringkat Akhir NSC 2024 adalah SM Swasta St. Joseph (Sarawak), SMK Sultan Ismail (Johor), SMK Jit Sin (Penang), MRSM Langkawi (Kedah) dan MRSM Gerik (Perak).

Pasukan yang bergelar juara akan membawa pulang Piala Pusingan YAB Perdana Menteri, lawatan sambil belajar ke luar negara, biasiswa pendidikan, sijil penyertaan dan gajet.

Manakala pemenang di tempat kedua hingga kelima akan menerima biasiswa pendidikan, sijil penyertaan dan gajet.

Bertemakan “Memacu Era Transformasi Digital: Merintis Inovasi dan Penyelesaian Mampan’ adalah sangat relevan kepada iltizam Malaysia untuk menjadi salah satu peneraju ekonomi Asia, selaras dengan visi ekonomi MADANI.

Perkara itu berkait secara langsung dengan pembangunan bakat dan pengukuhan ekosistem Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) negara.

Dalam pada itu, Lih Kang turut mengucapkan syabas kepada ASM kerana pantas menyahut cabaran kerajaan untuk melibatkan para saintis di sekolah dengan pengenalan program STI 100 to the power of Three (STI 100³).

Ini kerana pelaksanaan peringkat Separuh Akhir NSC pada tahun ini melibatkan bimbingan rapat saintis-saintis muda kepada semua peserta yang terlibat.

NSC 2024 mendapat sokongan daripada rakan kongsi strategik iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Sasbadi Online Sdn Bhd dan Young Scientists Network-Akademi Sains Malaysia (YSN-ASM).- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here