Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zamry Abd Kadir menyampaikan Anugerah kepada politeknik balik pulau yang muncul sebagai juara keseluruhan Anugerah inovasi pembelajaran digital (eDOLA) ke-12 ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Kementerian Pengajian Tinggi, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 24 SEPTEMBER 2024.

PUTRAJAYA – Generasi muda yang mampu mencipta teknologi baharu perlu memastikan ia memberi manfaat kepada manusia lain, kata Menteri Pendidikan Tinggi.

Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, kelebihan penciptaan sebuah teknologi khususnya berkaitan dengan pendidikan akan terbukti berguna kepada masyarakat.

“Saya harap kepada adik-adik sekalian, saudara-saudara sekalian yang menyertai program ini akan memberikan yang terbaik dalam rangka penciptaan-penciptaan (teknologi) baharu untuk kebaikan manusia.

“Bila kita mempunyai kemampuan untuk mencipta ini, ada dua pilihan di depan kita yang terbentang sama ada untuk kebaikan atau untuk keburukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Anugerah Inovasi Pembelajaran Digital CIDOS Inspiring Learning Awards Ke-12 (eDOLA) di sini malam tadi.

Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dato’ Dr. Haji Mohd Zahari bin Ismail.

Zambry berkata, agenda pendidikan tinggi negara kini sudah mula bermula semenjak negara menggalakkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) di semua bidang.

“Kita perlukan generasi-generasi yang ada dalam masyarakat kita (yang seiring dengan teknologi). Tapi ada juga cabaran yang perlu dihadapi.

“Sebab itu kerajaan Malaysia Madani memberikan penekanan terhadap AI dan seiringkan teknologi dengan pendidikan tinggi, sewaktu saya memulakan tugas di kementerian ini saya diberi tanggungjawab untuk memulakan agenda perubahan ini dalam dunia pendidikan tinggi kita,” ujarnya.

Demi memperkasakan lagi kaedah Pembelajaran dan Pengajaran (PdP), KPT melalui Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) telah melancarkan POLYCC Artificial Intelligence Reform Agenda yang menekankan kepada pemantapan pendigitalan pendidikan dan selari dengan ledakan teknologi baharu.

Pemerkasaan dan reformasi pembelajaran berasaskan teknologi AI adalah untuk meningkatkan proses PdP di POLYCC termasuk penggunaannya untuk memperibadikan pembelajaran dan menyediakan analisis data yang dapat membantu dalam membuat penyampaian pembelajaran lebih berkesan.

Selain itu, reformasi tersebut bertujuan untuk mempersiapkan para pensyarah dan pelajar dengan kemahiran digital yang relevan dan meningkatkan kecekapan sistem pendidikan secara keseluruhan.

Pelbagai inisiatif telah disusun peringkat JPPKK, antaranya adalah dengan pembudayaan pelaksanaan menerusi penganjuran Pertandingan CIDOS Inspiring Learning Awards (eDOLA) yang telah dianjurkan sejak 12 tahun lalu.

Penganjuran Majlis Pertandingan eDOLA XII 2024 yang berlangsung mulai dua hari sejak Isnin lalu menampilkan kelainan yang tersendiri apabila acara tahunan itu dimulakan dengan penganjuran Digital EDU AI Showcase yang merangkumi pameran teknologi pendidikan AI dan POLYCC – AWS League of Large Language Model Finale Gameshow.

Pameran Digital EDU AI Showcase memaparkan teknologi AI yang memfokuskan generatif AI dalam pendidikan.

Selain itu, Finale Gameshow LLM.L pula adalah program pertandingan yang menampilkan enam peserta akhir yang berentap membangunkan Large Language Model.

Program tersebut julung kalinya dibawakan oleh Amazon Web Services ke Malaysia dan POLYCC telah menjadi agensi pertama yang terpilih untuk menganjurkannya di Malaysia dalam usaha mengangkat teknologi cloud computing dalam dunia pendidikan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast