Muhammad Sanusi Md Nor

ALOR SETAR –  Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor hari ini memohon maaf kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah atas kenyataannya pada 11 Julai tahun lalu yang dianggap menghina dan tidak menghormati baginda.

Muhammad Sanusi dalam satu kenyataan turut merakamkan permohonan maaf kepada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari serta seluruh rakyat negeri ini.

Kata Muhammad Sanusi, beliau menyedari bahawa kata-katanya telah menimbulkan rasa tidak selesa dan telah mengguris hati dan perasaan Sultan Selangor.

“Dengan penuh hormat dan takzimnya merafak sembah memohon keampunan DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, di atas kenyataan patik pada 11 Julai 2023 di Taman Selayang Mutiara dalam Daerah Gombak, Selangor sepertimana yang telah dipertuduhkan terhadap patik di mahkamah yang dianggap menghina dan tidak menghormati DYMM Tuanku.

“Patik benar-benar kesal atas segala kesan negatif yang telah timbul daripada kenyataan patik tersebut. Patik ingin menyembah maklum kepada DYMM Tuanku bahawa tiada niat di hati patik untuk mempersendakan DYMM Tuanku yang amat patik hormati dan sanjungi selama ini.

“Patik sedar apabila patik hadir ke negeri orang khususnya berkaitan kes patik ini apabila berada di Selangor, patik tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata yang tidak beradab, menghina dan tidak sopan sepertimana yang telah patik perkatakan walaupun ucapan tersebut dibuat ketika suasana kehangatan kempen pilihan raya.

“Oleh itu, dengan penuh rasa insaf dan rendah diri, patik memohon beribu keampunan kepada DYMM Tuanku dan Menteri Besar Selangor dan rakyat Selangor atas segala keterlanjuran kata-kata patik,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Muhammad Sanusi, beliau berjanji untuk lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan pada masa akan datang dan akan memastikan bahawa setiap ucapannya selaras dengan adab sopan budaya Melayu yang sentiasa menjunjung tinggi Raja-Raja Melayu dan Institusi Raja.

Pada Julai 2023, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam satu siri ceramah mengeluarkan kenyataan yang didakwa menghina Sultan Selangor.

Menerusi video tular dipercayai ketika menyampaikan ceramah, Mohamad Sanusi juga turut didakwa meremehkan pelantikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Susulan itu, beliau telah mengutus surat kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menjelaskan konteks sebenar ucapannya yang didakwa diputar belit.

Katanya, Pegawai Istana Selangor memaklumkan kepadanya bahawa Sultan Selangor memberi perkenan untuk menerima dan membaca surat berkenaan pada Jumaat.

Beliau bagaimanapun berkata, tidak dapat memaparkan surat berkenaan di laman sosial itu untuk memelihara kemuliaan Sultan Selangor dan adat berurusan dengan istana. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here