SPAN dengan kerjasama Lembaga Air Perak melakukan operasi mengejut terhadap premis melakukan sambungan air secara tidak sah FOTO SPAN

KUALA LUMPUR- Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) merampas dan menyita 23 pam dan menyerahkan notis kepada 110 premis yang menggunakan pam secara terus selepas meter air di Perak.

Suruhanjaya itu dalam kenyataan hari ini berkata, operasi selama tiga hari bermula 23 September lalu dilakukan dengan kerjasama Lembaga Air Perak (LAP) di sekitar Jeti Bagan Panchor dan Kampung Bagan Panchor, Pantai Remis.

Katanya, operasi mengejut itu dilaksanakan selepas pihaknya menerima aduan daripada pengguna melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mengatakan terdapat premis disyaki melakukan sambungan bekalan air secara tidak sah dan menggunakan pam selepas meter air.

SPAN dengan kerjasama Lembaga Air Perak melakukan operasi mengejut terhadap premis melakukan sambungan air secara tidak sah
FOTO SPAN

“Dalam operasi   penguatkuasaan   yang   dilakukan selama tiga hari itu, sebanyak enam premis yang disyaki membuat sambungan bekalan air secara tidak sah telah diperiksa.

“Daripada jumlah tersebut, terdapat sebuah premis telah didapati melakukan sambungan bekalan air secara tidak sah.

“Manakala, sebanyak 110 premis yang telah diserah notis pemakluman berkenaan penggunaan pam secara terus selepas meter telah diperiksa. 23 pam daripada premis ini telah dirampas dan disita,” katanya.

Kesalahan-kesalahan itu telah dilakukan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) dan perundangan subsidiarinya, di mana siasatan lanjut akan dilakukan oleh SPAN.

Menurut kenyataan itu lagi, berdasarkan seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), tiada seorang pun selain pemegang lesen boleh membuat apa-apa sambungan ke suatu sesalur utama awam atau paip air perkhidmatan.

SPAN dengan kerjasama Lembaga Air Perak melakukan operasi mengejut terhadap premis melakukan sambungan air secara tidak sah
FOTO SPAN

Jika disabitkan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 123(3) dalam Akta yang sama.

Manakala, di bawah Kaedah 45(1) Kaedah-Kaedah Industri Perkhidmatan Air (Retikulasi Air dan Pemasang Paip) (Pindaan) 2024, tiada seorang pun boleh memasang atau menggunakan apa-apa pam yang boleh menaikkan, mengurangkan atau menjejaskan tekanan air yang dibekalkan daripada sesalur utama awam di mana-mana pemasangan selepas meter air.

Pam hanya boleh dipasang selepas tangki sedutan. Seseorang yang melakukan kesalahan ini, apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 seperti diperuntukkan di bawah Kaedah 45(2) dalam Kaedah-kaedah yang sama.

Tambah kenyataan itu, operasi penguatkuasaan sebegini bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran awam tentang kesalahan berkaitan perkhidmatan air.

Ia merupakan inisiatif ke arah memastikan kestabilan bekalan melalui pendidikan dan pencegahan secara berterusan.

SPAN juga memohon kerjasama orang awam untuk melaporkan sebarang kes yang disyaki melakukan kesalahan berkaitan perkhidmatan air seperti mencuri bekalan atau perbuatan mencemar sumber air kepada suruhanjaya itu melalui saluran WhatsApp ke nombor 013 – 388 5000 atau e-mel ke [email protected].

-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here