Azman ketika ketika berucap di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Matahari, Kluang malam tadi.

KLUANG – Kerajaaan yang meletakkan pelbagai syarat supaya Memorandum Persefahaman (MoU) peruntukan Ahli Parlimen pembangkang untuk ditangani, hanya akan menyusah dan menyebabkan majoriti orang Melayu di 74 kawasan Parlimen terseksa.

Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin berkata, kawasan Parlimen tersebut yang diwakili wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) akan terjejas kerana ketiadaan peruntukan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas berkata, ini kerana majoriti Parlimen tersebut merupakan kawasan Melayu yang memerlukan peruntukan tersebut.

“(Sebanyak) 74 kerusi Parlimen PN ini majoritinya adalah orang Melayu dan bila dia tak bagi peruntukan maknanya dia sedang seksa orang-orang Melayu di seluruh negara.

“Adakah tak bagi peruntukan orang Melayu akan mati? Tak mati kerana mereka ada jati diri. Ahli-ahli Parlimen PN ada maruah, mulut kami tak boleh dizip dan kami tak boleh mandulkan tak boleh sebut tak boleh sebut ini

“’No way’. Kamu nak bagi ke tak bagi sudah, kami tetap berjuang,” katanya ketika berucap di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Matahari, di sini, malam tadi.

Turut hadir Timbalan Pengarah Operasi Pilihan Raya PN, Tan Sri Annuar Musa dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang juga Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Azman berkata, walaupun tiada peruntukan ahli-ahli Parlimen PN akan terus berjuang membela nasib rakyat dalam tempoh tiga tahun ini sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Tiga tak bagi pun kami akan teurs berjuang dan bersuara bagi membela nasib Melayu dan rakyat. Tiga tahun lagi orang Melayu, Cina dan India akan ajar kamu habis-habisan (dalam PRU akan datang).

“Tewaskan kamu, kalahkan kamu secara total dalam bumi Malaysia,” menurutnya.

Selain itu Azman berkata, adalah penting pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota menolak calon Kerajaan Perpaduan pada hari mengundi Sabtu ini.

Katanya, pengundi boleh meluahkan rasa marah terhadap kerajaan contohnya jika tidak puas hati harga barang naik dan subsidi diesel ditarik, boleh diterjemahkan dalam bentuk undi.

Jelasnya, isyarat yang dihantar pengundi DUN Mahkota itu nanti akan sampai dan kerajaan Persekutuan selepas ini tidak berani lagi membuat dasar yang membebankan rakyat.

Justeru katanya, calon UMNO dalam PRK DUN Mahkota perlu ditolak kerana tidak mustahil PN mampu merampasnya daripada UMNO pada kali ini.

Media sebelum ini melaporkan PN sebulat suara menolak dua draf cadangan MoU daripada kerajaan berhubung peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, keputusan menolak dua draf cadangan MoU membabitkan antara Kerajaan Malaysia dengan parti PN dan antara Kerajaan Malaysia dengan semua Ahli Parlimen PN itu dibuat atas empat sebab fundamental. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. kepentingan peribadi mengatasi kepentingan dan perjuangan untuk rakyat yg diwakili.
    jika rakyat didahulukan sewajarnya MOU ditandatangani atau setidak2nya sudi berunding dgn kerajaan yang memerintah.

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here