KUALA LUMPUR- RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) menganggarkan pembayaran dividen daripada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan lebih rendah daripada RM32 bilion pada 2025, disumbangkan oleh prestasi yang lebih lemah pada 2024 di tengah-tengah penurunan harga minyak.
Bank pelaburan itu berkata adalah penting bagi mendapatkan maklumat jangkaan pembayaran dividen Petronas untuk 2025 terutamanya apabila perbincangan antara Petroleum Sarawak (Petros) dan Petronas masih berterusan.
Kerajaan juga berkemungkinan akan mengutamakan inisiatif tenaga hijau untuk menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional, katanya.
“Oleh itu, kami tidak akan terkejut terdapatnya peruntukan untuk pembangunan tenaga boleh baharu, dan mungkin juga penambahbaikan infrastruktur grid untuk memudahkan inisiatif seperti Skim Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Satu daripada langkah ketara yang mungkin dibentangkan dalam Belanjawan 2025 ialah penerusan atau pengembangan rebat tunai di bawah program Pemeteran Tenaga Bersih bagi memacu penggunaan solar, terutamanya dalam kalangan pemilik rumah, menurut RHB IB.
Untuk menggalakkan penggunaan tenaga solar kediaman, bank itu mencadangkan sokongan tambahan diperlukan terutamanya untuk kumpulan B40 menerusi pinjaman dan subsidi dengan faedah yang rendah.
Kerajaan pada masa yang sama masih menilai kesan rasionalisasi subsidi diesel, katanya.
Ia percaya kemungkinan penghapusan subsidi RON95 mungkin tidak diketengahkan dalam pembentangan Belanjawan akan datang.
Sebaliknya, RHB IB percaya hab petrokimia di Pengerang akan mendapat manfaat pada pembentangan itu sekiranya butiran lanjut mengenai perkembangan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura diumumkan.
— BERNAMA