MELAKA – Pernah ditertawakan kerana dianggap melakukan ‘kerja gila’ membuka inap desa di kawasan yang ketika itu masih dilitupi hutan bakau.
Namun 12 tahun kemudian, keputusan Lokman Rahuddin, 52, ternyata berbaloi apabila Pantai Siring, Umbai yang dahulunya sebuah perkampungan nelayan tradisional kini berkembang menjadi antara lokasi tumpuan pelancong di Melaka.
Kawasan itu juga semakin dikenali dengan makanan laut segar sehingga kehadiran pengunjung terutama pada hujung minggu dan musim cuti turut merancakkan ekonomi penduduk setempat.
Lokman berkata, dia masih tidak dapat melupakan reaksi segelintir pihak ketika mengambil keputusan membuka perniagaan inap desa di Pantai Siring kira-kira 12 tahun lalu.
Ketika itu, katanya, kawasan berkenaan masih dilitupi pokok bakau, manakala laluan sedia ada hanya boleh dilalui kenderaan kecil.

“Masa mulakan perniagaan ini dahulu, kawasan ini belum dibangunkan, masih berhutan. Jadi orang kata tak logiklah, tak masuk akal.
“Ada yang mengatakan kerja gila buat kerja dalam hutan, tetapi sekarang alhamdulillah,” katanya.
Menurut Lokman, jika dahulu hanya terdapat dua atau tiga warung di kawasan berkenaan, kini puluhan kedai makan dan restoran beroperasi susulan pertambahan pengunjung.
Perubahan itu turut memberi limpahan kepada perniagaan inap desa yang diusahakannya apabila tempahan semakin meningkat terutama pada hujung minggu dan cuti panjang.
Seorang lagi peniaga, Haslinda Musa, 43, turut menyaksikan sendiri perubahan Pantai Siring.

Haslinda yang lebih dikenali sebagai Dak Lin berkata, ketika memulakan perniagaan makanan laut pada 2018, kedainya hanya mempunyai empat meja.
Kini, perniagaannya berkembang kepada sebuah restoran dengan 50 meja bagi memenuhi permintaan pelanggan.
“Masa mula-mula berniaga dulu memang ada satu kedai saya sahaja di sini sebab di sini hutan bakau.
“Niat hati masa itu nak berniaga secara santai-santai sahaja sebab tak ramai orang pun masa itu, tetapi kini saya tak menduga pelanggan terlalu ramai,” katanya.
Kemudahan perlu seiring pertambahan pelancong
Dalam pada itu, perkembangan pesat Pantai Siring menyebabkan penduduk dan pengusaha berharap kemudahan awam di kawasan tersebut turut dinaik taraf.

Nelayan, Jolly Otorin, 57, yang menetap di Pantai Siring sejak 30 tahun lalu berkata, antara kemudahan yang perlu diberi perhatian ialah jalan raya, surau dan tandas awam.
“Antara perkara yang perlu dibaiki adalah jalan raya, surau dan tandas untuk keperluan pengunjung yang datang bersantai di sini,” katanya.
Pengusaha bot pelancong, Shanizam Ali, 46, pula berharap kerajaan negeri dapat menambah serta menaik taraf jeti sedia ada supaya lebih teratur dan mampu menampung peningkatan aktiviti pelancongan.

Menurutnya, jika kira-kira 10 tahun lalu hanya terdapat sebuah jeti nelayan di kawasan berkenaan, kini bilangan bot pelancong semakin bertambah seiring permintaan pengunjung terutama pada hujung minggu.
“Pantai Siring menjadi pilihan pelancong untuk ke Pulau Besar dan kita minta kerajaan negeri membina jeti bot pelancong yang lebih teratur,” katanya.
Perkembangan Pantai Siring dijangka terus mendapat momentum susulan pengumuman kerajaan negeri pada 27 Ogos lalu mengenai projek pembangunan bersepadu bernilai RM200 juta di kawasan berkenaan.
Artikel berkaitan: Projek RM200 juta bakal ubah wajah Serkam, Pantai Siring jadi tarikan baharu
Projek itu dilaporkan melibatkan penambakan laut, pembinaan jajaran jalan baharu serta pembangunan pusat perniagaan sebagai sebahagian usaha mengubah wajah Pantai Siring menjadi destinasi pelancongan utama dalam tempoh 10 tahun akan datang. – MalaysiaGazette
















