Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein hadir pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 11 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – UMNO perlu memastikan ‘putaran politik’ yang kini dilaluinya terus bergerak ke arah atas dan tidak kembali kepada fasa kemerosotan yang pernah ditempuh parti, kata bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, perjalanan UMNO sepanjang 80 tahun termasuk pengalaman kira-kira lapan tahun lalu membuktikan politik mempunyai putaran tersendiri di mana sesebuah parti boleh berada di puncak pada satu ketika sebelum berdepan kemerosotan.

Menurutnya, ketika berada di atas, UMNO pernah ditatang, dipuji dan disokong, namun keadaan berubah apabila parti melalui tempoh sukar apabila dicemuh serta ditohmah.

“Dalam perjuangan politik ini ada putaran, ada masa kita naik, ada masa kita turun. Masa kita naik kita ditatang, dipuji, disokong, tetapi masa kita turun, pada lapan tahun sebelum ini kita dicemuh dan ditohmah.

“Jadi itu semua disebut oleh Presiden sebagai pengajaran dan memberikan kita kekuatan,” katanya kepada pemberita pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di sini, hari ini.

Hishammuddin yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Sembrong berkata, pengalaman pahit tersebut tidak seharusnya dilihat sebagai beban, sebaliknya perlu dijadikan pengajaran penting untuk memperkukuh parti dan memastikan kesilapan lalu tidak berulang.

Jelasnya, UMNO kini dilihat sedang melalui satu lagi fasa kebangkitan dan terpulang kepada kepimpinan parti untuk memastikan momentum itu terus dikekalkan.

“Alhamdulillah, saya tengok putaran tadi yang saya sebut dalam politik, ada masanya kita turun, ada masanya kita naik.

“Terserah kepada pemimpin-pemimpin parti sekarang untuk menentukan bahawa putaran itu untuk UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus arahnya ke atas,” katanya.

Hishammuddin turut menyifatkan ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai antara ucapan terbaik yang pernah didengarnya daripada seorang Presiden parti.

Beliau berharap mesej yang disampaikan Ahmad Zahid mampu meletakkan UMNO pada landasan yang betul dalam menghadapi perjalanan politik selepas ini.

“Saya tengok ucapan Datuk Seri Zahid tadi merupakan antara yang terbaik saya dengar daripada Presiden UMNO dan saya harap bahawa ia boleh meletakkan kita pada landasan yang betul.

“Tapi banyak bergantung kepada pemimpin-pemimpin kita sendiri,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kejayaan UMNO untuk meneruskan kebangkitan tidak hanya bergantung kepada Presiden, sebaliknya memerlukan komitmen pemimpin di semua peringkat.

Katanya, setiap pemimpin perlu memahami dan menghayati pesanan Presiden serta menterjemahkannya melalui tindakan yang konsisten dalam perjuangan parti.

“Ini penting untuk menentukan pemimpin-pemimpin kita di setiap lapisan mesti memikul amanah itu dengan jujur, dengan keberanian, dengan konsistensi, istiqamah dalam perjuangan kita,” katanya.

Hishammuddin berkata, pemimpin UMNO perlu menyedari bahawa kedudukan politik tidak pernah kekal dan sokongan yang diterima ketika berada di atas tidak boleh menyebabkan parti terlalu selesa.

“Sebaliknya, pengalaman ketika berada di bawah perlu menjadi peringatan bahawa parti sentiasa perlu bekerja keras, memperbaiki kelemahan dan mengekalkan kepercayaan rakyat,” katanya.

Beliau turut berkata, cabaran sebenar selepas PAU 2026 bukan sekadar mendengar atau memahami ucapan Presiden, tetapi menentukan sama ada seluruh kepimpinan benar-benar menghayati mesej berkenaan dan menjadikannya panduan dalam menentukan hala tuju parti.

“Banyak bergantung kepada pemimpin-pemimpin kita sendiri, sama ada mereka memahami dan menghayati apa pesanan Presiden kita tadi dan menentukan apa corak arah tuju parti UMNO ini selepas ini,” katanya.

Menurut Hishammuddin, pengalaman lapan tahun yang penuh dengan cabaran seharusnya menjadi titik penting kepada UMNO untuk bergerak lebih matang, berhati-hati dan bersedia menghadapi perubahan landskap politik.

“Jika pengajaran daripada sejarah parti benar-benar dihayati dan kepimpinan di semua peringkat melaksanakan amanah dengan jujur, berani serta istiqamah, ‘putaran politik’ UMNO dan BN boleh diteruskan ke arah lebih baik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here