Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razlan Rafii bercakap kepada media ketika di Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 11 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) didakwa tidak konsisten dalam pendirian berkaitan isu pengampunan diraja membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Mohd Razlan Mohd Rafii berkata, prinsip yang dilaungkan sesetengah pemimpin PH mengenai hukuman terhadap pemimpin yang melakukan kesalahan perlu dilihat secara menyeluruh dan tidak dipengaruhi kepentingan politik.

Menurutnya, persoalan utama ialah sama ada prinsip berhubung hukuman terhadap pemimpin politik benar-benar dilaksanakan secara konsisten atau hanya digunakan apabila ia menguntungkan sesuatu pihak.

“Kalau mereka mengatakan setiap pemimpin melakukan jenayah atau rasuah mesti menjalani hukuman seperti yang ditetapkan.

“Saya mahu tanya bagaimana pula dengan keputusan dan pendirian terhadap pemimpin lain?

“Prinsip itu mesti konsisten. Jangan apabila ia melibatkan pihak tertentu, prinsipnya berubah,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di sini, hari ini.

Terdahulu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri menerusi satu kenyataan memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan supaya permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak.

Mohd Razlan juga berkata, isu berkenaan tidak sepatutnya dilihat semata-mata melalui kaca mata politik kerana kuasa pengampunan adalah bidang kuasa institusi diraja dan perlu dihormati.

Dalam masa sama, katanya, rakyat berhak menilai pendirian parti-parti politik yang sebelum ini lantang memperjuangkan prinsip keadilan, reformasi dan kedaulatan undang-undang.

“Kalau prinsipnya adalah hukuman perlu dilaksanakan, kita terima. Tetapi apabila terdapat keputusan atau proses yang melibatkan institusi diraja, ia perlu dihormati.

“Jangan menggunakan isu ini untuk kepentingan politik atau memilih prinsip mengikut siapa yang terlibat.

“Pendirian berubah-ubah menyebabkan rakyat mempersoalkan tahap konsistensi kerajaan dan PH dalam isu membabitkan undang-undang serta keadilan,” katanya.

Menurut Mohd Razlan, PH juga perlu menjelaskan kepada rakyat mengapa pendirian terhadap pemimpin tertentu dilihat berbeza apabila terdapat kepentingan politik berbeza.

“Jangan pilih bulu apabila bercakap soal keadilan. Kalau prinsip itu benar-benar prinsip, ia mesti terpakai kepada semua.

“Kalau seseorang itu melakukan kesalahan, biarlah proses undang-undang berjalan.

“Tetapi apabila sudah melibatkan kuasa pengampunan diraja, kita perlu menghormati proses dan institusi yang berkenaan,” katanya.

Beliau turut menegaskan, isu Najib tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menyerang UMNO atau Barisan Nasional (BN).

“Tumpuan perlu diberikan kepada hak dan proses yang tersedia di bawah sistem perlembagaan negara,” katanya.

Selain itu, katanya, isu pengampunan diraja Najib juga memperlihatkan bagaimana sesuatu isu boleh menjadi ukuran terhadap kredibiliti parti politik.

“Rakyat akan menilai siapa yang konsisten dan siapa yang cakap lain, buat lain.

“Pada akhirnya rakyat bukan hanya melihat apa yang dikatakan di atas pentas politik, tetapi mereka melihat apa yang dilakukan apabila berada dalam kerajaan,” katanya.

Katanya lagi, UMNO pula perlu terus membawa agenda lebih besar kepada rakyat menerusi gagasan Malaysia Biru dan tidak terperangkap dalam permainan politik yang hanya berlegar kepada serangan terhadap individu tertentu.

“Najib adalah sebahagian daripada sejarah UMNO dan negara. Tetapi kita perlu melihat ke hadapan.

“Yang penting ialah prinsip, proses dan penghormatan kepada institusi negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here