KUALA LUMPUR – UMNO perlu memahami perubahan kehendak dan jangkaan rakyat yang semakin berkembang mengikut peredaran zaman serta tidak boleh lagi selesa dengan pendekatan ‘berurusan seperti biasa’.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, keterbukaan dan tadbir urus kini menjadi antara tuntutan utama rakyat yang perlu diberi perhatian serius oleh parti.
Menurutnya, tawaran yang jelas bagi menentukan kedudukan serta hala tuju parti perlu ditawarkan UMNO kerana rakyat kini menilai pemimpin dan parti dari pelbagai aspek.
“Penting bagi parti untuk memahami rakyat kerana jangkaan rakyat berubah mengikut zaman.
“Apabila ia berubah mengikut zaman, perkara yang kita tidak pernah terfikir termasuk soal keterbukaan dan tadbir urus kini menjadi satu permintaan oleh rakyat.
“Sekarang kita bukan lagi boleh buat ‘berurusan seperti biasa’ kerana rakyat pada hari ini menilai dari pelbagai aspek,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas Ucapan Dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Johari menambah, mana-mana ahli UMNO yang mahu tampil sebagai pemimpin juga perlu memahami bahawa landskap politik serta kehendak rakyat kini telah berubah.
Jelasnya, pemilihan wakil yang membawa suara UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu mengambil kira kemampuan pemimpin untuk menerima kritikan serta bersikap terbuka terhadap pandangan rakyat.
“Ini termasuk keterbukaan dan kesungguhan sebagai seorang pemimpin untuk membangunkan negara tanpa berat sebelah,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya menyambut baik tawaran jelas yang disampaikan Ahmad Zahid bagi mewakili parti kepada rakyat.
Menurut beliau, tawaran berkenaan bukan sahaja menetapkan kedudukan dan hala tuju UMNO, malah menjadi cadangan parti kepada negara untuk dipertimbangkan rakyat.
“Selain menetapkan kedudukan dan hala tuju UMNO, sekurang-kurangnya ia adalah satu tawaran baik parti ini kepada negara untuk dipertimbangkan.
“Kita sangat jelas mengenai apa yang mahu dilakukan dan kita percaya rakyat akan memberikan pertimbangan yang baik terhadap saranan serta perancangan UMNO selain BN,” katanya. – MalaysiaGazette















