Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan

KUALA LUMPUR – Perbezaan politik tidak seharusnya menghalang kerajaan daripada menyalurkan pembangunan dan bantuan kepada rakyat termasuk di negeri yang ditadbir pembangkang, kata Naib Presiden PKR, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan.

Beliau berkata, pendekatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri membuktikan kepentingan rakyat mengatasi perbezaan politik.

“Politik kita mungkin berbeza, tetapi rakyat tetap rakyat Malaysia. Apabila pilihan raya selesai, tanggungjawab kerajaan adalah untuk bekerja dan berkhidmat kepada semua.

“Pada saya, inilah kematangan yang sedang ditunjukkan oleh Perdana Menteri. Tidak kira sesebuah negeri itu ditadbir Kerajaan Perpaduan atau pembangkang, apabila melibatkan kepentingan rakyat, pintu rundingan mesti sentiasa terbuka,” katanya menerusi kenyataan.

Ramanan berkata demikian susulan pertemuan Anwar dengan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud bagi membincangkan usaha memperkukuh kerjasama antara kedua-dua kerajaan demi kepentingan rakyat.

Menurutnya lagi, kerjasama antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri perlu diberi keutamaan bagi memastikan isu asas yang memberi kesan langsung kepada rakyat dapat diselesaikan tanpa dipengaruhi perbezaan politik.

Antara perkara yang memerlukan penyelarasan rapat termasuk bekalan air, tebatan banjir, jaringan jalan raya, kemudahan asas, peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi.

“Rakyat tidak mahu melihat kerajaan bertelagah tanpa penghujung. Rakyat mahu masalah mereka diselesaikan.

“Kalau ada isu air, kita selesaikan. Kalau ada isu banjir, kita cari jalan penyelesaian. Kalau rakyat perlukan jalan, sekolah, hospital atau peluang pekerjaan, kerajaan mesti bertindak. Itu yang rakyat mahu lihat,” katanya.

Ramanan berkata, pendekatan berkenaan turut selari dengan usaha Kerajaan MADANI meningkatkan pemberian Persekutuan kepada kerajaan negeri bagi membolehkan pembangunan dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Menurutnya, prinsip berkenaan juga perlu diterapkan dalam hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan semua negeri tanpa mengira pentadbiran politik masing-masing.

“Kelantan adalah sebahagian daripada Malaysia. Terengganu juga sebahagian daripada Malaysia. Begitu juga Kedah dan setiap negeri lain.

“Kemakmuran negara adalah untuk rakyat. Pembangunan negara adalah untuk rakyat. Kerajaan mesti memastikan tidak ada rakyat Malaysia yang tertinggal hanya kerana warna politik kerajaan negeri mereka berbeza,” katanya.

Menurut beliau, kerjasama antara kerajaan perlu menjadi amalan berterusan dan tidak hanya muncul ketika berdepan isu atau kepentingan politik tertentu.

Ramanan berkata persaingan politik sewajarnya berlaku ketika pilihan raya manakala selepas mandat diberikan, semua pihak perlu mengutamakan tanggungjawab mentadbir dan menyelesaikan masalah rakyat.

“Ini yang perlu kita bina dalam Malaysia. Kita boleh berbeza pandangan dan berdebat mengenai dasar, tetapi apabila melibatkan kesejahteraan rakyat, kita mesti mampu duduk semeja.

“Akhirnya ukuran sebuah kerajaan bukan siapa yang menang dalam pertelingkahan politik, tetapi berapa banyak masalah rakyat yang berjaya kita selesaikan. Dalam soal ini, rakyat mesti sentiasa menjadi pemenang,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here