Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad bersama Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat hadir pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 11 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Amanat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi disifatkan sebagai satu pengisytiharan ‘perang politik’ yang cukup berani dari pentas World Trade Centre (WTC), demikian menurut Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari.

Katanya, beliau hari ini hadir pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 itu dan berkesempatan menyaksikan sendiri majlis yang disifatkan penuh bersejarah.

Menurutnya, ucapan Ahmad Zahid yang bertajuk Melakar Masa Depan Bangsa disampikan dengan mesej politik yang sangat tegas dan mempunyai hala tuju yang jelas.

“Saya mendengar ucapan ini seperti ucapan pengisytiharan perang politik yang cukup berani oleh Presiden UMNO.

“Kebetulan tarikhnya cukup simbolik, genap 25 tahun selepas World Trade Center di Amerika Syarikat diserang pada 11 September 2001.

“Bezanya, 25 tahun lalu WTC di New York menjadi medan serangan fizikal. Hari ini WTC Kuala Lumpur menjadi pentas kepada satu serangan politik,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Ahmad Fadhli turut mempersoalkan sasaran sebenar mesej ketegasan yang dilontarkan oleh Ahmad Zahid menerusi ucapan dasar tersebut.

“Tanpa segan silu beliau menyebut, ‘cukuplah guru, berhentilah…’. Tidak perlu terlalu berselindung untuk membaca kepada siapa sindiran itu ditujukan.

“Kepada siapa perang itu diisytiharkan?

“Itu yang menarik untuk diperhatikan selepas ini walaupun semua sudah dapat menekanya,” ujarnya.

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad bercakap ketika ditemui wartawan selepas hadir pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 11 SEPTEMBER 2026.

Dalam pada itu, Ahmad Fadhli turut mencatatkan beberapa kesimpulan utama daripada amanat berkenaan.

Antaranya, kata beliau, penegasan mengenai penyatuan sepatutnya berlaku secara terus antara UMNO dan Pas tanpa pembabitan pihak ketiga.

“Selain itu, dinyatakan mengenai gagasan ‘Tafahum Siyasi’ serta idea ‘Kolaborasi Agung’ bagi memanggil semula ahli-ahli yang pernah meninggalkan parti.

“Dalam ucapan tersebut, Ahmad Zahid juga menyentuh isu keharmonian perjanjian politik dengan membangkitkan pembentukan Kerajaan MADANI yang didakwanya tersasar daripada cadangan asal ‘Kerajaan Perpaduan Nasional’,” ujarnya.

Tambahnya lagi, menerusi ucapan dasar itu juga, Ahmad Zahid turut memperkenalkan ‘Agenda Malaysia BIRU’ menuju 100 tahun kemerdekaan negara pada tahun 2057.

“BIRU membawa maksud B = Berdaulat, I = Inovatif, R = Rakyat Makmur dan U = Unggul.

“Gagasan ini kelihatan seperti mukadimah kepada satu kerangka pembangunan negara jangka panjang yang merangkumi beberapa siri Rancangan Malaysia sehingga tahun 2057.

“Agenda Malaysia BIRU itu kemudiannya dicerakinkan secara lebih terperinci melalui beberapa ikhtiar yang digariskan. Ertinya, ia bukan sekadar slogan, tetapi cuba ditampilkan sebagai satu kerangka politik dan pentadbiran jangka panjang menuju 2057,” ujarnya.

Sementara itu, tambah beliau, Pas menghargai jemputan serta sambutan mesra yang diberikan oleh kepimpinan dan ahli UMNO kepada delegasi parti itu yang hadir pada perhimpunan tersebut.

Selain Ahmad Fadhli, Pas turut diwakili tiga lagi delegasi iaitu Naib Presiden, Datuk Idris Ahmad; Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Bachok yang merupakan Setiausaha Politik Presiden Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman.

Ini merupakan kunjungan balas selepas Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki hadir pada Muktamar Tahunan Pas ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan di Pengkalan Chepa, Kelantan, minggu lalu. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here