KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor mengumumkan 25 Oktober depan (Ahad) sebagai Hari Kelepasan Am (Cuti Peristiwa) bagi seluruh negeri itu sempena sambutan Jubli Perak pemerintahan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, memandangkan tarikh berkenaan jatuh pada hari Ahad, maka 26 Oktober depan (Isnin) ditetapkan sebagai Hari Kelepasan Am Gantian.
Beliau berkata, sebanyak 20 program dan majlis rasmi akan berlangsung dari 28 September hingga 1 November ini sebagai tanda taat setia, penghormatan dan kesyukuran pentadbiran negeri serta rakyat Selangor terhadap pemerintahan Sultan Sharafuddin.
“Semua program yang disusun ini sudah dipersembahkan kepada Tuanku merangkumi dimensi kemasyarakatan, keagamaan, kelestarian alam sekitar, pembangunan infrastruktur serta sukan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad Fadzli, keseluruhan sambutan akan dilaksanakan secara sederhana, berhemah dan berimpak tinggi tanpa pembaziran, selaras dengan prinsip tadbir urus berhemah.
Katanya, kerajaan negeri juga menjunjung penuh titah Sultan Selangor dalam memastikan sambutan itu dilaksanakan dengan tertib dan bersesuaian dengan nilai serta aspirasi negeri.
“Acara kemuncak sambutan akan berlangsung pada 25 Oktober 2026, bersempena genap 25 tahun pemerintahan baginda, yang melibatkan tiga istiadat utama, antaranya Istiadat Pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama berserta 21 das tembakan.
“Program Kerohanian iaitu Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat serta Multaqa dan Forum Perdana Ehwal Islam.
“Program Warisan & Dokumentasi Sejarah membabitkan Majlis Pelancaran Sampul Surat dan Setem Khas, Duit Syiling Peringatan serta pelancaran buku Menjulang Takhta,” katanya. – MalaysiaGazette















