MELAKA – Projek pembangunan bernilai RM200 juta dijangka mengubah wajah Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam sebagai antara destinasi pelancongan utama di Melaka dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan berkata, projek mega itu melibatkan penambakan laut, pembinaan jajaran jalan baharu serta pembangunan pusat perniagaan di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, projek penambakan laut itu sekali gus akan mewujudkan kawasan persisiran pantai baharu di Pantai Siring, Umbai.
“Projek mega ini merupakan pembangunan semula Pantai Siring sebagai destinasi pelancongan baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penutup Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Serkam Siri Ke-16 di Dewan Seri Umbai di sini hari ini.
Artikel berkaitan:
- Serkam berpotensi jadi destinasi pelancongan baharu Melaka – Ab Rauf
- RM1.2 juta peruntukan bina baharu, baik pulih rumah penduduk Serkam
Majlis penutupan program peringkat DUN Serkam itu disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Zaidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam berkata, pelaksanaan projek berkenaan telah bermula dengan proses pengambilan tanah yang kini selesai.
“Dengan dana berjumlah RM600,000, kita kini sedang menjalankan kajian Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) sebelum melaksanakan projek penambakan laut.
“Kajian ini mungkin mengambil masa agak lama, jadi kita akan melaksanakan projek ini dalam dua fasa,” katanya.
Menurut Zaidi, pembangunan berkenaan turut melibatkan projek pembesaran jalan dengan kos sebanyak RM42 juta.
Selain itu, katanya, kawasan hasil penambakan laut tersebut akan dibangunkan sebagai pusat perniagaan baharu yang lebih moden. – MalaysiaGazette
















