MELAKA – Kerajaan Negeri Melaka terus menunjukkan komitmen yang tinggi dalam membantu rakyatnya apabila sebanyak RM1.2 juta diperuntukkan untuk membina kediaman baharu, selain membaik pulih rumah penduduk yang rosak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam pada tahun ini.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, peruntukan itu melibatkan sebanyak lapan buah rumah bina baharu dan 23 kediaman yang perlu dibaik pulih.
“Manfaat untuk warga Serkam tidak terhenti di sini sahaja. Kita membawa khabar gembira buat beberapa keluarga di DUN Serkam yang menghadapi masalah perumahan.
“Inilah hasil yang saya mahu lahirkan daripada setiap jelajah, daripada rumah yang uzur kita usahakan agar lebih selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menutup program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Serkam Siri ke-16 di Dewan Seri Umbai di sini hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Datuk Zaidi Attan.

Menurut Ab Rauf, menerusi program jelajah itu juga, sebanyak RM180,500 diperuntukkan bagi membantu penduduk bagi setiap lapisan masyarakat.
Antaranya, sebanyak RM41,000 disediakan bagi membantu mangsa banjir di DUN berkenaan selain RM37,000 disalurkan kepada pelajar yang bakal melanjutkan pengajian ke universiti dan bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.
“Bagi meningkatkan kemudahan kesihatan kepada penduduk setempat, sebanyak RM20,000 diperuntukkan untuk menaik taraf Klinik Kesihatan Umbai.
“Kita juga menyalurkan sumbangan bantuan kepada para petugas pembersihan berjumlah RM20,000,” katanya.
Bagi merancakkan ekonomi terutama pengusaha industri kecil dan sederhana (PKS) ujarnya, sebanyak RM34,000 disediakan menerusi Dana Prospek DUN Serkam bagi membantu 10 usahawan kecil dan sederhana.
“Segala bentuk bantuan ini tidak akan terhenti di sini sahaja. Kerajaan negeri akan terus membantu agar rakyat mendapat manfaat,” katanya. – MalaysiaGazette
















