MELAKA – Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam berpotensi besar menjadi salah satu destinasi pelancongan baharu di Melaka ekoran pelbagai produk yang dimilikinya.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, lokasinya yang strategik di pinggir Bandaraya Melaka memudahkan akses pelancong ke kawasan berkenaan.
Bagi tujuan itu ujarnya, kerajaan negeri bersedia membantu memajukan sektor pelancongan di kawasan berkenaan sekali gus mampu menjana pendapatan penduduknya.

“Serkam memiliki industri makanan yang terkenal seperti makanan tradisional dan hub halal serta destinasi yang menarik.
“Kerancakan ekonomi disusuli dasar kerajaan negeri yang mesra pelancongan maksudnya sub sistem sokongan ini juga meraih sokongan untuk menjadikan Serkam salah satu pusat pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menutup program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Serkam Siri ke-16 di Dewan Seri Umbai di sini hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Datuk Zaidi Attan.

Menurut Ab Rauf, industri makanan tradisional yang diusahakan pengusaha tempatan berjaya meletakkan Serkam di persada antarabangsa.
Premisnya jelas beliau, menjadi tumpuan ribuan pelancong asing dan tempatan pada setiap minggu.
Begitu juga produk makanan yang dihasilkan di kawasan perindustrian Halal Hub, Serkam yang menghasilkan pelbagai produk yang berjaya memecah pasaran antarabangsa. – MalaysiaGazette
















