Nurul Balqish (tiga dari kiri) sewaktu menerima pakej bantuan daripada wakil UTeM.

MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menyalurkan bantuan awal kepada Nurul Balqish Hairulnizam bagi memulakan pengajian di universiti ini yang akan bermula pada bulan Oktober nanti.

Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin merakamkan jutaan terima kasih kepada Menteri Pendidikan Tinggi di atas keprihatinan kepada kebajikan pelajar UTeM yang mana melalui wakilnya Pegawai Tugas-tugas Khas, Salahuddin Saufry Hamzah secara langsung membuat panggilan video dengan memberi kata -kata semangat dan perangsang kepada Nurul Balqis untuk meneruskan pengajian.

Ujar Massila, UTeM sentiasa prihatin dan sedia membantu pelajar bagi memastikan beliau boleh memulakan pengajian program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pembuatan yang telah ditawarkan kepadanya sebelum ini.

Jelasnya, kesempitan hidup beliau bukan penghalang untuk Nurul Balqish melanjutkan pengajian kerana dengan pendidikan tinggi inilah yang akan menjadi jambatan buat beliau mengubah nasib keluarganya nanti.

“Untuk bantuan ini UTeM menyalurkan enam pakej bantuan komprehensif yang terdiri daripada Biasiswa Derma Siswa B40 TVET, bantuan wang tunai RM1,500.00 sebagai bantuan awal bagi kegunaan persiapan awal memulakan pengajian dan bantuan komputer riba.

“Kami turut menyampaikan bantuan food bank serta menawarkan kemudahan asrama kepada beliau bermula dari semester satu sehinggalah tamat pengajian di samping menyediakan perkhidmatan bimbingan kaunseling motivasi dan kerjaya,” ujarnya dalam kenyataan.

Pakej bantuan itu telah disampaikan terus oleh wakil UTeM di rumah pelajar berkenaan di Pontian, Johor semalam.

Kunjungan UTeM dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif bersama Dekan Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Industri dan Pembuatan (FTKIP), Prof Dr Hambali Arep@Ariff.

Terdahulu UTeM dimaklumkan beliau sememangnya teruja untuk menyambung pengajian namun dibelenggu dengan kesempitan kewangan kronik ekoran tinggal bersama ibunya yang merupakan ibu tunggal yang hanya bekerja mengambil upah mengasuh anak orang dan juga adiknya yang masih bersekolah.

Nurul Balqish, 22, menyatakan beliau sama sekali tidak menduga kunjungan pihak UTeM ke rumahnya bersama dengan pakej bantuan hebat yang amat bermakna buat beliau.

“Saya ingin menyampaikan penghargaan dan terima kasih kepada Naib Canselor UTeM, Dr Massila dan pihak HEPA kerana menyelami keperitan hidup saya dan menghulurkan bantuan yang amat berharga buat saya.

“Ini adalah peluang besar buat saya menzahirkan keazaman dan cita-cita untuk memulakan pengajian tinggi dan berazam untuk mengubah nasib keluarga di masa akan datang,” ujarnya.

Ibu Balqish, Julie Jamaluddin mengucapkan rasa syukur dan turut berterima kasih kepada pihak UTeM yang terlalu prihatin dan terus menyampaikan bantuan awal kepada anaknya.

“Ini merupakan rezeki yang sama sekali tidak diduga oleh kami dan saya mendoakan agar anak saya cemerlang belajar di UTeM,” ulasnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here