MELAKA – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai melanggar lampu isyarat merah sebelum bertembung dengan sebuah kereta di simpang empat Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin (AMJ) – Bachang di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.50 petang itu, mangsa pelayan kedai makan berusia 23 tahun itu meninggal dunia dua jam kemudian ketika menerima rawatan di Zon Merah Hospital Melaka.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian, pemuda berkenaan datang dari arah Jalan Tun Perak menghala ke Bachang.
“Sebaik tiba dilokasi nahas, mangsa dipercayai melanggar lampu isyarat lalu sebelum bertembung dengan sebuah kereta jenis Perodua Axia dipandu lelaki berusia 43 tahun yang datang dari arah Malim.
“Akibatnya penunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC itu cedera parah dan dihantar ke Hospital Melaka namun disahkan doktor meninggal dunia pada pukul 6.45 petang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambahnya, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Melaka dan Pol 61 telah dikeluarkan bagi mengetahui punca kematian.
Kes yang siasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette