Mohd Noor Helmy melihat kerja-kerja penyelenggaraan longkang untuk membantu mengurangkan masalah banjir kilat yang 'diwarisi' penduduk Kampung Pengkalan Rama Tengah, Melaka sejak 20 tahun lalu.

MELAKA – Masalah banjir kilat yang ‘diwarisi’ penduduk Kampung Pengkalan Rama Tengah di sini sejak 20 tahun lalu berpunca daripada isu pemilikan tanah dan pembangunan yang tidak dirancang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, keadaan itu diburukkan lagi apabila kerja-kerja penyelenggaraan longkang tanah dan monsun tidak dilakukan secara berjadual dan menyeluruh.

Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem

“Sebab itu, sampai sekarang isu banjir kilat ini kita terpaksa ‘warisi’ bila pembangunannya tidak dirancang akhirnya kawasan itu akan memulaukan sesetengah kawasan lain.

“Bila kita nak naik taraf, timbul pula masalah pemilikan tanah kerana ada pemilik asal tanah tak dapat dikesan tapi cukai tanah masih dibayar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan bersepadu bersama beberapa agensi terlibat dalam menangani masalah banjir kilat di kampung berkenaan yang terletak di pinggir pusat bandar Melaka itu di sini hari ini.

Mohd Noor Helmy (kanan) melihat kedalaman longkang yang dipenuhi lumpur menjadi antara punca
masalah banjir kilat yang ‘diwarisi’ penduduk Kampung Pengkalan Rama Tengah, Melaka sejak 20 tahun lalu.

Mengulas lanjut, Mohd Noor Helmy berkata, pada bulan ini sahaja, tiga kejadian banjir kilat sehingga 0.6 meter telah menjejaskan kira-kira 50 buah rumah yang majoritinya didiami warga emas berusia lebih 70 tahun.

“Memanglah banjir itu tak dalam setakat satu atau dua kaki dan akan surut dalam masa satu hingga dua jam tapi kesannya pada penduduk berusia ini sangat memenatkan.

“Sebab itu hari ini saya mahu selesaikan apa juga masalah ini biarpun dari sekecil-kecilnya asalkan sekurang-kurangnya ianya dapat melambatkan berlakunya banjir,” katanya.

Tambahnya, beliau sudah mengumpulkan data dan nasihat secara kolektif daripada semua agensi terlibat untuk melaksanakan penyelesaian jangka pendek.

“Sekurang-kurangnya itu lebih baik daripada kita cari punca masalah besar untuk diselesaikan tapi masih tak buat-buat sebab memerlukan masa dan ada pelbagai kekangan lain termasuklah sumber kewangan.

“Contophnya, kalau kita tak dapat selesaikan 100 peratus daripada masalah, dapat 25 peratus pun satu kelebihan asalkan dapat melambatkan banjir sebelum ianya dapat terus dinoktahkan,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here