KLUANG – Politik kebencian dan pandangan berasaskan perkauman dalam negara hari ini disifatkan semakin pulih dan bertambah baik berbanding seperti yang ditanam selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 2022.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ketika ini, para pemimpin pelbagai kaum serta agamawan dapat duduk bersama-sama berbincang secara terbuka mengenai permasalahan kaum dan penganut masing-masing.
Jelas beliau, keharmonian dalam kalangan kaum itu juga menjadi tunjang kepada keamanan serta kestabilan negara serta merupakan keistimewaan yang tidak dimiliki oleh mana-mana negara lain di dunia.
“Tidak ada dalam negara lain yang boleh melakukan seperti ini (keharmonian antara kaum) di Amerika Syarikat (AS) misalnya, negara itu boleh mengatakan mereka polis dunia tapi soal perkauman seperti black lives matter dan white supremacy timbul di sana.
“Kita di sini, walaupun mungkin ada unsur-unsur seperti itu tetapi kita berjaya padamkan dengan semangat toleransi dan perbincangan antara kita,” katanya ketika berucap pada Ceramah Berkelompok Perpaduan dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di sini malam tadi.
Mohamad yakin kemenangan besar Barisan Nasional (BN) yang mewakili Kerajaan Perpaduan pada PRK DUN Mahkota selepas kemenangan pada PRK Nenggiri akan membawa gelombang baharu politik yang menolak kebencian kaum di negara ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh pengundi PRK DUN Mahkota memberi sokongan kepada calon Kerajaan Perpaduan bagi memastikan keamanan dan kestabilan negara yang sedang dikecapi ketika ini dapat dikekalkan.
Jelas Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, sokongan itu juga bagi memastikan kekukuhan dan perkembangan ekonomi yang sedang berlaku ketika ini seperti yang ditunjukkan menerusi pengukuhan ringgit dan kemasukan pelabur asing dapat diteruskan serta dipertingkatkan.
“Kita tengok dengan pengukuhan ringgit ketika ini, harga barang yang diimport mulai turun. Harga bawang import misalnya, sekarang antara RM3 ke RM4 (sekilogram) berbanding RM7 ke RM8 sebelum ini.
“Kita harap menjelang bulan Disember nanti, ringgit boleh mencapai RM4 berbanding satu dolar AS dan bila capai tahap itu maka kita akan lihat lebih banyak barang import akan turun harga,” katanya. – MalaysiaGazette