Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang akan membangunkan projek perumahan Pangsapuri Pahangku di kawasan berhampiran stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Bentong.

Menteri Besar Pahang, DAtuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri dalam menyediakan perumahan mampu milik dan selesa kepada rakyat di negeri ini.

“Projek ini dibangunkan khususnya untuk golongan muda, selain memanfaatkan sistem pengangkutan Rel Pantai Timur (ECRL) di Pahang.

“Dalam pada itu, kerajaan juga telah merangka pembangunan berorentasikan transit (TOD) di setiap stesen ECRL seperti pusat komersial, perumahan, pusat pendidikan serta projek komuniti,” katanya menerusi kenyataan.

Jelasnya, projek itu dijangka memberikan impak positif kepada pembangunan sosio-ekonomi di Bentong dengan mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan keselesaan hidup rakyat, serta memperkukuh jaringan infrastruktur perumahan dan pengangkutan.

Di samping itu, Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) akan membangunkan Artificial Intelligence Data Center (AIDC) sebagai platform baharu perniagaan secara atas talian berasaskan produk pertanian.

Projek ini memanfaatkan teknologi pengkomputeran awam dan teknologi kepintaran buatan (AI) melalui pembangunan pusat data pengkomputeran pintar berskala besar serantau dan menggalakkan pembangunan industri digital negara.

“Projek yang pertama di negeri Pantai Timur ini dijangka mula dilaksanakan pada Januari 2026 dengan mensasarkan produk-produk tempatan bagi pemasaran tempatan dan juga global, sekali gus membantu pengusaha memasarkan produk pertanian mereka serta merancakkan lagi ekonomi negeri Pahang.

Wan Rosdy berharap agar kedua-dua projek ini dapat dilaksanakan dengan baik agar manfaatnya diterima oleh rakyat di negeri Pahang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast