KLUANG – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Perikatan Nasional (PN) ketandusan isu untuk bekempen pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang berbaki dua hari lagi dengan memainkan isu calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussein Syed Abdullah mempunyai rekod jenayah.
Malah, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri turut menyifatkan pembangkang terdesak dengan menyentuh isu-isu peribadi Syed Hussein semata-mata untuk menghakis keyakinan pengundi.
Tegasnya, beliau sendiri sudah menyemak dan memeriksa latar belakang Syed Hussein sebelum dipilih sebagai calon BN pada PRK itu dan mendapati beliau tidak mempunyai rekod jenayah.
Jelas Ahmad Zahid, apa yang cuba dibangkitkan pembangkang itu adalah kejadian ketika Syed Hussein cuba membela seorang warga orang kurang upaya (OKU) buta yang diganggu dan dipukul oleh sekumpulan individu ketika beliau berumur 20-an.
“Beliau sebenarnya membela warga OKU buta itu…saya telah semak (dakwaan pembangkang itu), tiada kes polis, tiada kes mahkamah jauh sekali beliau diheret ke mahkamah bersabit kes itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas turun padang bertemu masyrakat Orang Asli pada Program Tautan Kasih Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Tanah Runtuh, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin atau juga dikenali sebagai Che’gu Bard mendakwa Syed Hussein mempunyai rekod jenayah berkait kes gaduh dan mencederakan sekali gus menggesa calon BN berkenaan membuat penjelasan.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menyifatkan tindakan pembangkang memainkan isu peribadi Syed Hussein disebabkan calon mereka tidak mendapat sambutan daripada pengundi DUN Mahkota dan cuba mengganggu calon BN. – MalaysiaGazette