SINTOK – Seramai 267 Kadet SISKOR Jabatan Penjara Malaysia daripada universiti awam menyertai Perbarisan Tamat Latihan di Padang Kawad, Universiti Utara Malaysia (UUM), semalam.
Mereka terdiri daripada 62 siswa dan 205 siswi dari lima universiti awam iaitu UUM, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
Berucap pada majlis tersebut, Komisioner Jeneral Penjara Malaysia, Datuk Seri Nordin Muhamad berkata, siswazah akan dimantapkan lagi ilmu koreksional dengan lebih mendalam supaya mereka bersedia melaksanakan tugas apabila mereka berkhidmat nanti.
“Koreksional lebih kepada memulihkan tahanan manakala korektif bukan sahaja tahanan dipulihkan tetapi melihat apa punca-punca yang menyebabkan mereka masuk penjara misalnya membuat kajian tentang masalah keluarga yang akhirnya mengheret mereka ke penjara.
“Justeru, saya berharap siswazah dapat memainkan peranan dalam membantu masyarakat walaupun penjara dan universiti ada perbezaan namun tujuan kita sama, penjara membaiki individu yang bersalah agar menjadi baik manakala universiti menyampaikan ilmu agar menjadi orang yang baik dan berjaya,” katanya.
Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Institusi Pengajian Tinggi di atas jaringan kolaborasi yang dijalinkan sekali gus mengembangkan aspek kesukarelawanan di peringkat IPT serta Bahagian Pembangunan Profesionalisme Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Pejabat Pengarah Penjara Negeri serta Institusi-Institusi Penjara Mentor.
Objektif penubuhan siskor adalah untuk memberi kesedaran kepada mahasiswa tentang tanggungjawab sosial di samping menambah pengetahuan dan membuka minda bahawa penjara bukan sahaja tempat penahanan, bahkan penjara juga sebagai tempat pemulihan melalui program yang disediakan.
Sepanjang berkursus, kadet telah didedahkan dengan pelbagai ilmu kepenjaraan untuk menyesuaikan diri dengan komuniti penjara selaras dengan matlamat universiti sebagai universiti komuniti.
Pada majlis sama, turut menyaksikan pemakaian pangkat kehormat kepada pegawai kehormat universiti.
Mendahului pemakaian pangkat, Prof. Datuk Dr. Mohd Foad Sakdan menyandang Pangkat Penolong Komisioner Penjara (Kehormat) diikuti pemakaian pangkat kepada 24 pegawai unversiti awam yang ditauliahkan. – MalaysiaGazette