23 ‘mat pet’ diberkas di Kampung Baru Sungai Buloh, Selangor

KUALA LUMPUR – Seramai 23 ‘Mat Pet’ ditahan polis dalam Operasi Sarang yang dijalankan di kawasan Kampung Baru Sungai Buloh, Selangor pada 25 September lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superitendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, kesemua penagih berusia di antara 20 hingga 60 tahun itu dicekup di kawasan yang dipercayai dijadikan sebagai ‘mobile pot’.

“Tangkapan melibatkan 18 warga tempatan dan lima warga asing dengan merampas sebanyak 0.5 gram dipercayai methamphetamine.

“Lokasi transaksi kegiatan mereka ini akan berpindah randah, penagih akan datang ke suatu kawasan dan menghubungi tokan untuk menghantar barang.

“Selesai transaksi dilakukan, masing-masing beransur dari lokasi tersebut dan kebanyakkan mereka akan bergerak ke lokasi ditetapkan dengan menaiki motosikal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Hafiz, seramai tiga suspek warga asing yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 12(2)/12(3) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 manakala 20 lagi suspek disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

“Selain itu, terdapat dua lagi suspek tempatan adalah ‘wanted person’ bagi kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala seorang suspek tempatan berpotensi diambil tindakan di bawah Seksyen 15(1)(a)/ 39C ADB 1952 (Penagih Tegas),” jelasnya.

Berikutan itu, beliau meminta orang ramai untuk menyalurkan maklumat jenayah terutama berkaitan dadah kepada pihak polis dalam usaha membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah secara habis-habisan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here