Pihak polis dan forensik menjalankan siasatan di lokasi kejadian dua lelaki warga Vietnam mati ditembak polis di Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini.

NIBONG TEBAL – Dua lelaki warga Vietnam yang terlibat dalam 11 kes pecah masuk kilang, gudang serta tebuk peti besi di negeri ini dan Kedah mati ditembak polis dalam kejadian di Lorong Perindustrian 4, Bukit Panchor di sini, hari ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, kedua-dua suspek berusia 38 dan 39 tahun itu ditemui dalam keadaan mencurigakan keluar dari sebuah kilang di kawasan tersebut pada jam 3.20 pagi oleh sepasukan polis.

Jelas beliau, pihak polis meminta mereka berhenti untuk melakukan pemeriksaan sebelum masing-masing yang bersenjatakan parang bertindak menyerang pasukan dan bagi mempertahankan diri polis terpaksa melepaskan empat das tembakan.

Hamzah (tengah) mengadakan sidang media di IPD SPS hari ini.

“Dengan tertumpasnya dua suspek ini kita berjaya menyelesaikan enam kes dalam Kontinjen Pulau Pinang dan lima kes Kontinjen Kedah melibatkan kerugian lebih RM 317,700.

“Turut dirampas dalam milikan suspek dua bilah parang, pelbagai peralatan yang disyaki digunakan dalam kegiatan pecah masuk premis, bangunan selain menyita sebuah kereta jenis Proton Waja yang digunakan suspek ketika kejadian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sebeang Perai Selatan hari ini.

Mengulas lanjut Hamzah berkata, hasil semakan lanjut mendapati mereka ini aktif dalam kegiatan tersebut sejak 2017 dan keluar masuk negara menggunakan pas pelancong.

Pegawai penyiasat kes menunjukkan senjata yang dirampas pihaknya dalam milikan kedua-dua suspek tersebut.

“Siasatan juga mendapati dua suspek ini antara rangkaian sindiket didalangi warga sama yang mensasarkan kilang, gudang untuk dipecah masuk sebelum melarikan aset termasuk wang tunai dalam peti besi premis tersebut.

“Bagaimanapun, siasatan kita kini menjurus untuk mengenal pasti sama ada wujud penglibatan orang dalam premis atau sebaliknya,” katanya.

Tambah beliau, masing-masing suspek yang mati ditembak itu turut mempunyai dua serta enam rekod jenayah lampau.

Mayat kedua-dua suspek dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk proses bedah siasat.

“Mayat dua suspek itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast