Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah menempatkan 40 buah mesin pengimbas bagasi berteknologi terkini bagi meningkatkan kawalan keselamatan di pintu keluar masuk di sempadan negara.

Mesih pengimbas tersebut dilengkapi dengan kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI).

Menurut kenyataan JKDM, mesin tersebut dapat meningkatkan tahap kecekapan pengesanan melalui imbasan barang dan bagasi yang dibawa penumpang bagi menangani isu penyeludupan barang bercukai dan larangan termasuk narkotik.

“Selain itu, latihan kemahiran berkaitan pengecaman dan analisa imej melalui pengalaman dan pengetahuan (Human Intelligence – HI) turut diberikan kepada pegawai JKDM.

“Perkara ini memberi impak yang sangat tinggi terhadap penguatkuasaan dari segi pencegahan aktiviti penyeludupan dan ketirisan hasil negara,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Katanya, sejak mesin pengimbas berteknologi terkini itu beroperasi pada Julai 2024, JKDM berjaya mengesan beberapa kes yang berdasarkan hasil analisa imej imbasan.

Tambahnya, menerusi penggunaan mesin imbasan terbaharu itu, Pusat Mel dan Kurier (PMK) KLIA telah merekodkan pengesanan dan tangkapan lapan kes narkotik dari jenis ganja dan bliss cannabis bernilai RM577,625.20.

Menurut kenyataan itu, JKDMjuga berjaya mengesan cubaan membawa masuk wang tunai berjumlah RM65,160 dan dadah jenis heroin seberat 5.252 kilogram bernilai RM492,375.00 melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan
(ICQS) Padang Besar, Perlis dalam kes yang berasingan pada Jun dan Ogos 2024 lalu.

“Selain itu, menerusi pemasangan mesin imbasan sama, JKDM Zon Sabah turut berjaya mengesan dan merampas 20.393 kilogram dadah jenis methamphetamine dianggarkan bernilai lebih RM600,000 yang cuba diseludup melalui pesawat penumpang,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here