Aedy Fadly bertanyakan sesuatu kepada salah seorang pegawai pengangkutan jalan selepas Majlis Pentauliahan Tamat Kursus Asas Pegawai Pengangkutan Jalan Tahun 2024 di Akademi Pengangkutan Jalan, Tiang Dua, Ayer Molek Melaka hari ini.

MELAKA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meluluskan permohonan pegawai dan anggota untuk mengisi kekosongan terutamanya di Johor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL).

Ketua Pengarahnya, Aedy Fadly Ramli berkata, keperluan itu merangkumi pelbagai bidang terutamanya penguatkuasaan selain perkhidmatan terasnya dalam kejuruteraan automotif serta pelesenan kenderaaan dan pemandu di kaunter.

“Tahun depan kita ingin mengambil lebih ramai lagi anggota serta pegawai dan kami jangkakan sekiranya dibenarkan dan diluluskan JPA, kita perlukan lebih 250 kakitangan.

“Tumpuan kita adalah untuk mengisi kekosongan di bidang penguatkuasaan kerana tahun depan ada pelbagai lagi operasi-operasi penguatkuasaan baru yang sedang dirancang,” katanya.

Aedy Fadly Ramli

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pentauliahan Tamat Kursus Asas Pegawai
Pengangkutan Jalan Tahun 2024 di Akademi Pengangkutan Jalan, Tiang Dua, Ayer Molek di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Muhammad Kifli Ma Hassan, Pengarah Akademi Pengangkutan Jalan Dr. Azmi Awang dan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Muhammad Firdaus Shariff.

Mengulas lanjut Aedy berkata, pengisian kekosongan itu juga selari dengan dasar kerajaan yang membenarkan JPJ mengisi 92 peratus berbanding penjawatan sedia ada.

“Macam WPKL dan Johor ada sedikit kekurangan yang mana pengisian jawatan di Kuala Lumpur hanya 86 peratus sahaja jadi kita perlu tambah sehingga 90 peratus ke atas.

“Kita tak boleh penuhkan jawatan sehingga 100 peratus sama seperti jabatan lain sebab itu kita perlu adakan perbincangan dan kelulusan pengisian jawatan ini daripada JPA,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 82 orang pelatih berjaya menamatkan latihan selama tiga bulan itu selepas melapor diri di akademi berkenaan pada 1 Julai lalu. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here