KUALA LUMPUR – Logo penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN 2025 dikritik warga net kerana didakwa tidak menarik dan ketinggalan zaman.
Pengendali laman sosial Amran Fans dalam hantaran di platform X berpendapat, reka bentuk logo berkenaan tidak mencapai matlamat khusus penganjuran sebuah acara berstatus antarabangsa yang mana Malaysia telah dipilih sebagai tuan rumah.
Dengan nada sinis, Amran Fans berkata, reka bentuk logo yang sudah ketinggalan zaman itu hanya sesuai semasa pentadbiran Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Dengar cerita ni logo ASEAN 2025 nanti. Please lah Malaysia. Ni dah macam logo zaman Mahathir jadi PM4 dah.
“Pilih lah yang lawa sikit dan nampak eksklusif,” katanya.
Dalam pada itu, Amran Fans turut meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar masuk campur dalam pemilihan logo berkenaan.
“Minta @anwaribrahim hempuk sikit team yang pilih ni,” katanya lagi.
Sementara itu, netizen yang meninggalkan komen pada hantaran tersebut rata-rata bersetuju dengan kenyataan reka bentuk logo berkenaan adalah buruk.
Mereka turut mencadangkan supaya pihak terbabit mengadakan pertandingan mencipta logo bagi memilih rekaan terbaik dan sesuai dengan penganjuran sesebuah acara besar.
Difahamkan logo berkenaan telah dimuktamadkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Kebangsaaan ASEAN.
Logo tersebut memaparkan lambang wau dengan perkataan ASEAN Malaysia 2025.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan keyakinan bahawa Malaysia mampu menjadi tuan rumah terbaik sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2025.
Beliau berkata, hasil kerjasama utuh semua pihak akan membawa negara tampil sebagai hos yang cemerlang kepada semua delegasi terlibat.
Malaysia sebelum ini pernah memegang jawatan Pengerusi ASEAN sebanyak empat kali iaitu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015. – MalaysiaGazette