Aminolhuda ketika berucap dalam  Ceramah Perpaduan Mahkota Grand Finale di bandar Kluang malam ini.

KLUANG – Pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota esok perlu buktikan mereka menyokong Kerajaan Perpaduan dengan memilih calon Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan berkata, pilihan itu perlu dilakukan untuk membolehkan penduduk Mahkota bersama-sama Kerajaan Perpaduan dalam memajukan ekonomi.

“Esok rakyat DUN Mahkota kena buktikan akan bersama-sama Kerajaaan Perpaduan untuk memilih calon UMNO dan Barisan Nasional (BN) iaitu Syed Hussien Syed Abdullah,” katanya.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor itu berkata demikian ketika berucap dalam  Ceramah Perpaduan Mahkota Grand Finale di bandar ini malam ini.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Ab Samad, secara terbuka mengucapkan terima kasih kepada BN kerana sanggup membentuk kerajaan bersama-sama PH dan mengetepikan kepentingan parti.

Menurutnya, setelah sekian lama menjadi pesaing, UMNO juga sanggup menerima Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan menubuhkan Kerajaan Perpaduan.

“Mungkin tuan-tuan dan puan-puan masih tidak begitu selesa. Tapi saya secara peribadi daripada parti Amanah dan PH, kita berterima kasih kepada BN.

“BN sanggup terima Anwar sebagai Perdana Menteri, bentuk kerajaan dengan kita. Ahli politik yang berkualiti tahu bila waktu untuk berdamai demi kepentingan rakyat.

“Oleh itu, saya secara terbuka nak ucapkan terima kasih kepada UMNO kerana bersama PH membentuk kerajaan dan utamakan kepentingan negara bukan kepada parti politik masing-masing,” katanya.

Beliau menambah, BN boleh memilih untuk bersama Perikatan Nasional (PN) dan pemimpinnya berpotensi dilantik sebagai Perdana Menteri, namun tidak bertindak demikian.

“Kalau dia (mahu) pergi (bentuk kerajaan) dengan PN boleh. Zaman PN (jadi kerajaan) dulu, UMNO yang jadi Perdana Menteri.

“(Memang) betul, (Datuk Seri Dr Ahmad) Zahid (Hamidi) ada banyak isu. Itu kita letak di tepi.

“Yang terpenting, dia sanggup bentuk kerajaan dan terima PH, terima Anwar sebagai Perdana Menteri demi kepentingan negara,” katanya.

Kerajaan Perpaduan terbentuk pada 2022 selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah Kerajaan Perpaduan dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tiada parti berjaya mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan.

Sebanyak 18 parti di dalam Kerajaan Perpaduan terdiri daripada lima gabungan politik iaitu PH, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan).

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang sebelum ini menyertai Kerajaan Perpaduan kemudiannya bertindak menarik diri dan menyertai blok pembangkang sebagai kuasa ketiga.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast