KLUANG – Dalam rayuan terakhir menjelang hari pengundian Plihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, MCA merayu pengundi Cina supaya keluar beramai-ramai mengundi esok.
Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, pengundi Cina tidak wajar memboikot hari pengundian esok atas apa alasan sekali pun, sebaliknya perlu menggunakan hak mereka untuk memilih pemimpin yang akan mewakili mereka kelak.
Dalam pada itu, Hang Soon turut mengakui terdapat sentimen yang dimainkan dalam kalangan pengundi Cina oleh pihak-pihak tertentu supaya tidak keluar mengundi esok.
Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi Cina supaya tidak terpengaruh dan terpesong dengan hasutan tersebut dan keluar melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
“Jika tidak keluar mengundi dan memberikan sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN), masyarakat Cina juga yang rugi kerana kerajaan hari ini ada objektif dan dasar pembangunan yang jelas untuk semua rakyat,” katanya.
Beliau ditemui selepas menghadiri program Gegar Jejak Kerjaya MyFuture Jobs Orang Mahkota 2024 bersama HAWA Malaysia yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di sini, hari ini.
Sementara itu, ditanya sama ada pengundi Cina masih terkesan dengan pergeseran antara Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Mohamad Saleh dengan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok, beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Pendidikan 1 berkata, isu tersebut tidak seharusnya dibawa dalam PRK Mahkota.
“Itu isu nanti dibincang lain kali (di luar PRK DUN Mahkota),” katanya ringkas.
Berkenaan tanggapan pengundi luar termasuk kaum Cina yang mana PRK ini tidak merubah kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat, justeru tidak mahu pulang mengundi, beliau berkata, keputusan PRK tersebut memberikan signifikan yang besar khususnya dalam konteks politik nasional.
Esok, lebih 60,000 pengundi biasa dengan 35 peratus daripadanya pengundi Cina akan menjalankan tanggungjawab sebagai pemilih dalam PRK DUN Mahkota.
PRK itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN, Syed Hussein Syed Abdullah dan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar. – MalaysiaGazette