BATANG KALI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan berjumlah RM100 juta kepada Program Anak Kita.
Jelas Anwar, peruntukan itu diberikan supaya ia tidak membebankan Kementerian Pendidikan dengan tanggungjawab sedia ada.
“Saya harap kemudahan ini dimanfaatkan dengan sebaiknya. Ibu bapa harus punyai tanggungjawab. Guru-guru terpaksa dibebankan kerana guru-guru bertanggungjawab menyelamatkan anak bangsa yang tercicir.
“Dan anak-anak harus ambil kesempatan ini dengan sebaiknya. Tidak ada sebab mengapa tidak mungkin kita bangkit dan bernafas semula,” katanya dalam video sempena ucapan perasmian Reformasi Pendidikan Program Anak Kita Semarak Potensi Malaysia di Sekolah Kebangsaan Rasa, Hulu Selangor, pagi tadi.
Hadir sama adalah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Dalam pada itu, Anwar berkata program ini merupakan usaha tambahan setelah mengenal pasti jumlah keciciran yang membimbangkan.
Jelasnya, keciciran bukan perkara yang baru, tetapi menjadi lebih rumit dan mencabar tatkala Malaysia berdepan permasalahan pasca Covid-19.
“Anak-anak bangsa tidak mampu dibiarkan tercicir.
“(Mereka) mesti diberikan segala kerjasama dan bantuan untuk meningkatkan keupayaan (di samping) memberikan ruang dan peluang kedua,” katanya lagi.
Fadhlina sebelum ini berkata kerajaan menerusi Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan program pemulihan pembelajaran bagi meningkatkan taraf hidup rakyat menerusi Program Anak Kita.
Inisiatif dikelolakan dua kementerian itu dengan kerjasama Yayasan Hasanah bertujuan menangani masalah keciciran di negara ini dengan penyertaan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan selain syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seiring pendekatan keseluruhan negara (whole-of-nation).
Program pemulihan pembelajaran itu memberi tumpuan terhadap meningkatkan literasi dan numerasi dalam kalangan pelajar sekolah rendah, mempertingkatkan kadar kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mengintegrasikan semula pelajar yang tercicir kembali ke dalam sistem pendidikan. – MalaysiaGazette