GERIK – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memilih Kampung Kuak Hulu, Pengkalan Hulu, di sini sebagai kampung angkat di bawah Program Satu Pemimpin Satu Kampung atau dikenali sebagai Santuni MADANI.
Menurut Fadhlina, Kampung Kuak Hulu dipilih bukan sahaja berdasarkan penelitian yang dibuat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tetapi juga merupakan kampung kelahiran ibunya.
“Jadi, saya fikir sudah sampai masanya untuk saya kembalikan khidmat bakti saya termasuk membantu perkembangan komuniti di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Program Santuni Madani Menteri Pendidikan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuak Hulu, Kampung Kuak Hulu, Pengkalan Hulu di sini, pada Khamis.
Fadhlina berkata, penganjuran program Santuni MADANI ini memberi tumpuan untuk menangani kemiskinan, meningkatkan akses pendidikan, kesihatan, pengangguran, keselamatan, isu sosial, infrastruktur dan alam sekitar.
Beliau berkata, kesemua isu yang berbangkit kini berada dalam perhatian dengan pelbagai langkah serta inisiatif sedang disusun bagi menanganinya.
“Saya dapat tahu isu keciciran dan kesihatan tidak ada yang diimbangkan di kawasan ini maksudnya pendidikan itu adalah perkara pertama yang kita mahu pastikan.
“Dalam masa sama berdasarkan permintaan dan keperluan khususnya yang berkait rapat dengan infrastruktur di kampung ini semuanya telah diluluskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU),” katanya.
Tambah Fadhlina, pihaknya berharap agar infrastruktur yang dibaik pulih akan memberi manfaat kepada penduduk di kampung terlibat seperti gelanggang futsal, padang dan titi.
“Selain itu, kita juga mencadangan untuk mewujudkan bomba komuniti dan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah memberikan jaminan akan membantu dari segi latihan, pendaftaran dan perkara melibatkan komuniti.
“Secara keseluruhannya isu-isu yang dibangkitkan sedang dalam proses untuk ditangani secara berperingkat melibatkan semua agensi dan komuniti.
“Justeru, kita akan kembali semula ke kampung ini selepas tiga bulan untuk melihat perkembangan berkaitan semua perkara terutamanya melibatkan projek infrastruktur,” katanya.
Sementara itu, penerima sijil penghargaan program Santuni Madani, Guru Besar SK Kuak Hulu, Shuhaili Mohamed Shuhidan berkata, sekolah tersebut terlibat secara langsung dalam program tersebut memandangkan ia berperanan dalam memastikan tiada isu keciciran dan kesihatan berlaku dalam kalangan murid.
“Program ini sangat bagus dan saya memberi sokongan penuh membantu mempercepatkan segala perkara yang tertangguh dengan pertolongan agensi yang ada di daerah Hulu Perak.
“Selain itu, menerusi program tersebut juga kami telah memohon dewan terbuka dan alat pendingin hawa untuk kegunaan pejabat serta bilik guru di sekolah ini,” katanya.
Salah seorang penduduk, Mek Besar Ismail, 80, berkata, memohon supaya jalan dibesarkan untuk kemudahan penduduk kampung.
“Setakat ini, kemudahan air dan elektrik di sini baik. Cuma kalau boleh minta YB (Yang Berhormat) mempertimbangkan untuk membesarkan jalan untuk keselesaan penduduk,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Siti Hawa Husin, 72, berasa gembira apabila Fadhlina turun padang menyantuni mereka walaupun dalam keadaan cuaca hujan.
“Alhamdulillah, YB datang melawat dan beri bantuan makanan. Bagaimanapun, saya harap sekitar kawasan kampung ini dapat dibina longkang supaya sistem perparitan dapat berfungsi dengan sempurna,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
i-MInD 2024 manifestasi KPM perkasa inovasi dan penyelidikan