Che'gu Bard menunjukkan salinan kenyataan daripada Facebook Mohd Puad ketika ditemui pemberita di markas Perikatan Nasional (PN) di Kampung Melayu, Kluang, hari ini.

KLUANG – Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi bersama-sama delegasi Barisan Nasional (BN) yang menghadiri kelas perkaderan di China minggu ini perlu ditahan dan dicuci otak mereka kerana bimbang sudah diresapi ideologi komunisme.

Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin berkata, ini kerana kerajaan Malaysia mengharamkan fahaman komunis.

Jelas beliau, tindakan menahan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu adalah perlu kerana Mohd Puad dengan terang-terangan mengakui mengikut kelas perkaderan di negara tersebut.

“Kamu akui pergi sekolah politik dalam Facebook dan antara beberapa modul latihan  yang mereka ikuti itu adalah pengkaderan. Kita cari modul pengkaderan parti komunis itu apa dia.

“Pengkaderan itu ialah melatih kader komunis. Dia akui dia lalui proses dan kelas perkaderan.

“Sekolah politik dan program perkaderan itu adalah bagaimana komunis China berdepan dengan kebebasan maklumat daripada Facebook, macam mana nak gelarkan berita palsu, itu modul-modul yang mereka lalui,” katanya ketika ditemui pemberita di markas Perikatan Nasional (PN) di Kampung Melayu di sini hari ini.

Kelmarin Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal membuat laporan polis terhadap Mohd Puad berdasarkan hantaran Speaker DUN Johor itu dalam Facebook miliknya termasuk lawatannya ke Sekolah Jawatankuasa Parti Perbandaran Parti Komunis China (PKC) Beijing, tempat kader PKC dilatih.

Lawatan Mohd Puad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu turut disertai delegasi BN dan UMNO.

Sahruddin yang juga bekas Menteri Besar Johor antara lain menzahirkan kebimbangan fahaman komunis akan menular dalam kalangan ahli UMNO dan juga di DUN Johor.

Mengualas lanjut, Badrul Hisham yang juga dikenali sebagai Che’gu Bard bimbang Mohd Puad dan delegasi terlibat akan menyebarkan fahaman komunis di negara ini.

Menurutnya, penahanan tersebut perlu dilakukan bukan kerana motif politik tetapi berkaitan isu keselamatan negara.

“Ini bukan masalah politik, ini bukan masalah UMNO lawan Bersatu, ini persoalan negara kita. Polis kena bertindak kecuali memang negara ini memang sudah diresapi pengaruh komunis,” ujarnya.

Katanya, fahaman komunisme diharamkan di negara ini sama seperti idelogi Negara Islam (IS), Al Qaeda, Al arqam dan terbaharu Global Ikhwan.

Che’gu Bard berkata, mana-mana pihak yang menyimpan bahan atau dokumen yang mempunyai kaitan dengan kumpulan berkenaan wajib ditahan apatah lagi yang mengikuti ideologi mereka.

Beliau membidas Mohd Puad apabila cuba mengelirukan rakyat dengan mengaitkan lawatan tersebut hubungan diplomatik 50 tahun antara Malaysia dan China.

“Ini dua perkara berbeza antara lawatan itu dengan hubungan diplomatik antara kita dan China. Pihak keselamatan khususnya polis kena bertindak segera.

“Ini penghinaan kepada mangsa-mangsa (komunis) di Bukit Kepong dan ribuan mangsa lain, ini juga merupakan penghinaan kepada anggota polis dan tentera yang berdepan dengan komunis,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast