Calon Barisan Nasional, Syed Hussein Syed Abdullah berucap pada Majlis Kebudayaan Mahkota sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.29 DUN Mahkota di Kluang. Foto SADIQ SANI, 24 SEPTEMBER 2024

KLUANG – Calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussein Syed Abdullah akan memulakan hari pertama beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota esok, dengan mengunjungi pusara ayahnya, Syed Abdullah Syed Abdul Hamid.

Menurut Syed Hussein, beliau ingin `menyampaikan’ kepada arwah bapanya, yang mana beliau berjaya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota hari ini dengan sokongan dan bantuan keseluruhan pasukannya.

“Esok perkara pertama yang saya akan lakukan adalah saya mahu pergi ke kubur arwah bapa saya dulu, saya nak bagitahu `Abah, I did it with my all team,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pengumuman rasmi kemenangannya dalam PRK DUN Mahkota di pusat penjumlah undi di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, di sini, malam ini.

Syed Abdul Hamid meninggal dunia pada 10 September lalu iaitu beberapa hari selepas BN menamakan Syed Hussein sebagai calon PRK DUN Mahkota bagi mewakili Kerajaan Perpaduan.

Terdahulu, Syed Abdul Hamid, 67, dilaporkan menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

Terdahulu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota, Azurawati Wahid mengumumkan kemenangan Syed Hussein pada PRK itu dengan majoriti 20,648 undi.

Syed Hussein berjaya memperoleh sebanyak 27,995 undi mengatasi calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar yang memperoleh 7,347 undi.

Kemenangan menyaksikan BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Mahkota dengan majoriti empat kali ganda berbanding keputusan Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN-15) lalu.

Sementara itu, Syed Hussein turut berterima kasih kepada jentera BN dan Kerajaan Perpaduan yang bersungguh-sungguh berkempen bagi memastikan kemenangannya.

Jelasnya, kemenangan beliau itu juga disumbangkan atas semangat kerjasama dalam sebuah keluarga besar yang ditunjukkan semua pihak khususnya pengundi di DUN Mahkota. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here