Nurul Balqish (3 dari kiri) sewaktu menerima pakej bantuan daripada wakil UTeM.

MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menyalurkan bantuan awal kepada Nurul Balqish Hairulnizam bagi memulakan pengajian di universiti ini yang akan bermula pada bulan Oktober nanti.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, pihaknya sedia membantu pelajar ini bagi memastikan remaja ini memulakan pengajian program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pembuatan yang telah ditawarkan kepadanya.

Jelasnya, kesempitan hidup Nurul Balqish bukanlah penghalang untuk dia melanjutkan pengajian UTeM kerana dengan pendidikan tinggi inilah yang akan menjadi jambatan buat beliau mengubah nasib keluarganya nanti.

“Untuk bantuan ini UTeM menyalurkan 6 pakej bantuan komprehensif yang terdiri daripada Biasiswa Derma Siswa B40 TVET, bantuan wang tunai RM 1,500.00
sebagai bantuan awal bagi kegunaan persiapan awal memulakan pengajian dan bantuan komputer riba.

“Kami turut menyampaikan bantuan Food bank serta menawarkan kemudahan asrama kepada beliau bermula dari semester satu sehinggalah tamat pengajian di
samping menyediakan perkhidmatan bimbingan kaunseling motivasi dan kerjaya,” ujarnya.

Pakej bantuan ini telah disampaikan terus oleh wakil UTeM di rumah pelajar berkenaan di Pontian, Johor, baru-baru ini.

Kunjungan UTeM ini dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif bersama Dekan Fakulti
Teknologi dan Kejuruteraan Industri dan Pembuatan (FTKIP), Profesor Dr Hambali Arep@Ariff.

Terdahulu pihak UTeM dimaklumkan Nurul Balqish teruja untuk menyambung pengajian namun dibelenggu dengan kesempitan kewangan kronik ekoran tinggal bersama ibunya yang merupakan ibu tunggal yang hanya bekerja mengambil upah mengasuh anak orang dan juga adiknya yg masih bersekolah.

Nurul Balqish, 22, sama sekali tidak menduga kunjungan pihak UTeM ke rumahnya bersama dengan pakej bantuan hebat yang amat bermakna buatnya.

“Saya ingin menyampaikan penghargaan dan terima kasih kepada Naib Canselor UTeM dan pihak HEPA kerana menyelami keperitan hidup saya dan menghulurkan bantuan yang amat berharga buat saya.

“Ini adalah peluang besar buat saya menzahirkan keazaman dan cita-cita untuk memulakan pengajian tinggi dan berazam untuk mengubah nasib keluarga di masa akan datang,” ujarnya.

Ibu Balqish, Julie Jamaluddin turut menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada pihak UTeM yang prihatin dengan menyampaikan bantuan awal kepada anaknya.

“Ini merupakan rezeki yang sama sekali tidak diduga oleh kami dan saya mendoakan agar anak saya cemerlang belajar di UTeM,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here