Dua beranak dikhuatiri lemas dibawa arus akibat banjir di Kampung Tanjung Kiri, Jalan Padang Sana, Kuala Nerang hari ini.

KUALA NERANG – Dua beranak dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan air deras akibat banjir di Kampung Tanjung Kiri, Jalan Padang Sanai di sini, hari ini.

Mangsa, Muhammad Rosman Rohaidi, 19, dan ibunya, Salmah Md Zain, 48, dipercayai cuba berpaut pada pokok sebelum dihanyutkan air deras.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang, Aminuddin Mad Khozari berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8.29 pagi sebelum sepasukan bomba digerakkan ke lokasi.

Pihak bomba sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dihanyutkan arus.

“Pada jam 8 pagi BBP Kuala Nerang sedang melakukan operasi khidmat khas tebang pokok di Kampung Kuala Tekai Pedu sebelum kita terima satu lagi panggilan kecemasan dua mangsa dikhuatiri lemas dibawa arus air banjir.

“Susulan itu, kita aktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi kejadian dengan menggunakan bot aluminum.

“Buat masa ini kerja-kerja pencarian sedang dilakukan dan kita akan sampaikan maklumat berkaitan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hujan lebat lebih dua jam semalam bermula pukul 7.30 malam telah menyebabkan 26 rumah di Kampung Pisang, Kampung Tanjung Kiri dan Kampung Tanjung Kanan di sini, dilanda banjir kilat.

Susulan itu, pihak bomba membantu memindahkan 21 penduduk di Kampung Tanjung Kanan yang terperangkap dalam banjir kilat terbabit. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here