Kain rentang provokasi di pasang di 18 pusat daerah mengundi (PDM) BN sekitar Mahkota, Kluang.

KLUANG – Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) kesal apabila kain rentang provokasi dipasang pihak tidak bertanggungjawab di pusat daerah mengundi (PDM) BN.

Jentera Perpaduan mengesan kain rentang provokasi dalam bahasa Melayu dan Mandarin pada 3 pagi tadi yang dipasang di 18 PDM BN.

Timbalan Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) BN, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kain rentang itu memaparkan wajah pemimpin UMNO dan calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

“Kain rentang tersebut memaparkan gambar calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah bersama-sama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dengan ucapan “Tahniah menang Mahkota bakal jadi Ketua UMNO Bahagian Kluang”.

“Ia cuba melaga-lagakan pimpinan UMNO Bahagian Kluang. Seperti yang semua maklum, Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md Jais Sarday.

“UMNO tidak akan ada pemilihan parti sehingga selesai Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16),” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Operasi Perpaduan di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi dan Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali.

Ahmad berkata, kain rentang tersebut sudah diturunkan dan akan mempertimbangkan untuk membuat laporan polis.

“Ini adalah kain rentang yang tidak bertanggungjawab dan kita kesal terhadap perkara ini dan kita harap pengundi tidak akan terpengaruh dengan perkara-perkara begini.

“Ini menunjukkan pihak tidak bertanggungjawab itu, tandus idea, bankrap isu sehingga mereka lakukan perkara sebegini,” katanya.

Dalam pada itu, Sheikh Umar mendakwa menerima panggilan telefon dari Pahang untuk keluar mengundi yang kemudiannya merayu agar mengundi Perikatan Nasional (PN).

Sheikh Umar yang juga pengundi di DUN Mahkota memberitahu, panggilan daripada wanita itu mempunyai unsur hasutan di mana sekiranya mengundi BN, Mahkota akan dikuasai Cina.

Seramai 61,274 pemilih biasa PRK DUN Mahkota akan menjalankan tanggungjawab mereka mengundi hari ini sehingga jam 6 petang nanti membabitkan 109 saluran di sebanyak 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM).- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here