Lima beradik menunaikan tanggungjawab mengundi PRK DUN Mahkota di SK Kampong Melayu, Kluang hari ini.

KLUANG – Tinggal di luar tidak menghalang lima beradik untuk pulang menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota hari ini.

Lima daripada sembilan beradik itu datang kira-kira 8 pagi untuk menunaikan tanggungjawab di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampong Melayu.

Zahreen Zainal, 48, Mahanun, 39, Mohamad Helmi, 37, Tarmizi, 29, dan Siti Khadijah, 25, teruja dapat membuang undi di tempat yang sama.

Menurut Zahreen, faktor yang mendorongnya balik dari Puchong, Selangor semalam untuk mengundi kerana mahukan masa depan negara yang lebih baik.

“Kita mahukan negara ke arah yang betul, lebih baik dan terjamin dengan menyediakan peluang pekerjaan. Kalau tiada pekerjaan susah. Kalau kita ada pelajaran tetapi tiada pekerjaan pun susah terutama di bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang,” ujarnya yang merupakan pesakit strok sejak lapan tahun lalu, ketika ditemui selepas mengundi.

Anak kedua daripada sembilan beradik itu juga mahukan kerajaan yang baik dan membantu rakyat.

“Sekarang elaun OKU (orang kurang upaya) saya tidak dapat lagi sejak kerajaan baharu memerintah,” katanya.

Mohamad Helmi pula yang tinggal di Taman Impian Emas, Skudai, Johor Bahru yang cedera di bahagian lutut, tetap bersemangat mengundi walaupun datang dengan berkerusi roda.

“Balik ke kampung di sini kali ini bukan sahaja untuk mengundi tetapi seperti satu ‘reunion’ untuk keluarga kami apabila ramai pulang termasuk yang tidak mengundi di sini,” katanya.

Siti Khadijah pula berkata, dia dan suami yang tinggal di Kuantan mengambil cuti hari ini dan sampai di rumah keluarganya di Kampung Melayu pukul 12 tengah malam tadi.

Dia yang bekerja sebagai pengendali dokumen bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kuantan pulang mengundi kerana merasakan setiap undi berharga.

“Itu sebab kami pulang mengundi termasuk kakak saya, Mahanun dari Melaka dan Tarmizi yang pulang dari Johor Bahru. Setiap undi tidak boleh disia-siakan,” katanya.

Proses pengundian PRK DUN Mahkota bermula pukul 8 pagi dan akan berakhir pukul 6 petang ini.

Seramai 61,397 pengundi layak mengundi di 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM) membabitkan 109 saluran yang akan dibuka serentak pagi ini.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here