MELAKA – Bermula 2 Oktober ini, pengguna kenderaan di negeri ini boleh menggunakan aplikasi pintar baharu, Melaka Smart Parking bakal di semua empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, aplikasi ini bagi menggantikan SVP Smart Parking Melaka sebelum ini.
“Menerusi satu sistem bersepadu ini, pengguna termasuk pelancong lebih mudah untuk meletak kenderaan mereka di semua petak parkir yang disediakan keempat-empat PBT tanpa perlu lagi menggunakan aplikasi berbeza.
“Pengguna aplikasi lama bagaimanapun tidak perlu bimbang jika masih mempunyai baki dalam sistem itu kerana ia akan dipindahkan secara automatik ke aplikasi baru jika menggunakan ID sama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh merasmikan Program Malaysia Book Of Records World Clean Up Day 2024 MBMB di Dataran Klebang, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, sebelum ini, sistem pembayaran parkir empat PBT berkenaan iaitu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) adalah berbeza-beza.
“Sebab itu Melaka Smart Parking ini lebih efisien dan dari semasa ke semasa, kita akan terus membuat hebahan dan memberikan maklumat secara terperinci berhubung aplikasi baru ini,” katanya. – MalaysiaGazette