KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) telah menubuhkan satu jawatankuasa kajian berkaitan pengawalan, pemantauan dan penguatkuasaan dalam menangani masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) di Malaysia.

Menurut EAIC, jawatankuasa itu ditubuhkan pada Februari lalu selaras di bawah Seksyen 4(1) (f) Akta 700 bagi membantu kerajaan dalam mengesyorkan langkah pentabdbiran kepada sesuatu agensi penguatkuasaan.

Katanya, ia juga bertujuan menggalakkan integriti dan menghapuskan salah laku dalam kalangan pegawai penguat kuasa ketika operasi penguatkuasaan dijalankan.

“Sehubungan dengan itu, objektif penyertaan EAIC dalam operasi pada hari ini untuk memahami dengan lebih jelas mengenai
penguatkuasaan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

“Ia melibatkan pemeriksaan, tangkapan dan pengendalian PATI serta kekangan anggota JIM di lapangan semasa mengendalikan operasi berkaitan.

“Selain daripada penyertaan dalam operasi, EAIC turut menjalankan lawatan ke depot-depot Imigresen serta akan menjalankan sesi konsultasi bersama pihak berkepentingan pada fasa akhir kajian ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tambah kenyataan itu, jawatankuasa itu akan membuat syor-syor penambahbaikan yang akan dibentangkan dalam Mesyuarat Suruhanjaya (pengurusan tertinggi EAIC).

Jelasnya, ia bagi pertimbangan, kelulusan dan seterusnya syor-syor penambahbaikan tersebut akan dikemukakan kepada agensi-agensi berkenaan.

Terdahulu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur telah mengadakan dua operasi melibatkan Ops Kutip dan Ops Gegar di sekitar ibu negara.

Kedua-dua operasi terbabit turut disertai sekumpulan pegawai daripada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sebagai pemerhati. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here