Pengarah PRK DUN Mahkota Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Foto SADIQ SANI, 26 SEPTEMBER 2024

KLUANG – Perikatan Nasional (PN) tidak berputus asa dengan kekalahan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota hari ini.

Pengarah PRK DUN Mahkota bagi PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, gabungan politik itu menerima keputusan yang dibuat penggundi DUN Mahkota itu dengan hati terbuka.

Ketua Penerangan PN itu berkata, gabungan politik itu akan terus berusaha pada pilihan raya akan datang.

“Sejak dari awal lagi kita sudah menyatakan Mahkota, Kluang merupakan kawasan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Namun kita tetap berusaha sedaya upaya menyantuni seramai mungkin pengundi. Calon kita juga, Coach Haizan diterima baik oleh pengundi.

“Berbanding UMNO, mereka telah gunakan segenap jentera kerajaan negeri mahupun Persekutuan untuk meraih sokongan dalam PRK kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama (BGU) PN di Jalan Dahlia Kampung Melayu, di sini, malam ini.

Hadir sama Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah mempertahankan kerusi DUN N.29 Mahkota dalam PRK yang diumumkan di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini pukul 9.10 malam ini.

Syed Hussien memperoleh 27,995 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar yang mendapat 7,347 undi.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here